Jarang tajuk sebegini diketengahkan dalam seminar seumpama ini sedangkan keluarga memainkan peranan penting untuk sama-sama membangunkan anak remaja belia mereka di rumah.

Dalam konsep Pembangunan Belia Positif atau Positive Youth Development (PYD), terdapat tiga komponen luaran utama yang membantu dan mendokong belia untuk hidup sihat dan berjaya iaitu keluarga, sekolah dan masyarakat. Jika ketiga-ketiga komponen ini berfungsi dengan baik dan saling bekerjasama maka ia mampu membina aset luaran yang kuat sebagai sokongan remaja dan belia membesar dan berjaya menyerlahkan potensi mereka dengan baik.

Sewaktu berkongsi sebagai panel dalam seminar tersebut, saya sempat memberikan contoh Datuk Aliff Syukri sebagai personaliti usahawan berjaya kerana mempunyai aset dalaman seperti resilience yang kuat tatkala usia remajanya membesar dalam keluarga yang berpecah dan bercerai.

Beliau dalam bukunya, Bermula Sebuah Kisah menceritakan bahawa beliau bangkit atas cabaran hidup tersebut sehingga berjaya dalam bidang perniagaannya. Aliff adalah kes studi bagaimana aset luaran yang tidak mendokong namun aset dalaman yang kuat menyebabkan beliau terus survive dan berjaya menyerlahkan potensi.

Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 – 2035 jelas menekankan pembinaan aset dalaman dan luaran bagi meningkatkan kesejahteraan belia. Aset luaran merangkumi empat elemen utama seperti sokongan, pendayaupayaan, batasan dan jangkaan dan penggunaan masa konstruktif.

Aset dalaman pula merangkumi enam elemen utama iaitu komitmen pembelajaran, nilai positif, kompetensi sosial, identiti positif, amalan gaya hidup sihat dan keagamaan.

Terdapat pecahan aset di bawah setiap elemen sehingga membentuk keseluruhan 48 aset. Semakin banyak aset yang dikumpul oleh belia maka semakin sejahtera dan berjaya bagi meneruskan hidup sebagai individu yang berjaya di dunia dan akhirat.

Para ibu bapa wajar mengenali sifat dan karakter anak remaja belia mereka supaya mudah mendidik dan menanganinya. Anak remaja belia pada masa ini dikenali sebagai Generasi Y yang lahir di antara 1980an sehingga sebelum tahun 2000. Mereka juga dikenali sebagai Net-Generation yang amat mesra dengan gajet dan media sosial.

Generasi Y di tempat kerja ternyata juga berbeza kerana mereka jarang setia kepada kerjaya yang terikat dan mahu merevolusikan ekonomi serta menentukan masa hadapan sendiri.

Generasi Y apabila mesra gajet dan media sosial maka mereka dibimbangi kurang terlibat secara fizikal dalam kegiatan persatuan belia dan kemasyarakatan. Mereka tidak melihat kegiatan sebegini penting dan bermanfaat.

Justeru penulis mengambil peluang memperkenalkan persatuan belia dan Majlis Belia Malaysia (MBM) kepada peserta seminar yang rata-rata dalam kalangan ibu bapa agar mereka mendapat maklumat langsung sekaligus membantu mempromosikan kegiatan persatuan belia dan MBM kepada anak-anak remaja belia di rumah.

Terdapat banyak manfaat apabila anak-anak remaja belia menyertai persatauan belia. Antara lain menurut penulis buku, Persatuan Belia di Malaysia (2002) ialah dapat membina kemahiran kepimpinan, berpeluang terlibat dalam kegiatan kesukarelawanan dan keusahawanan dan dapat terus belajar secara tidak formal.

Peranan pekerja belia profesional yang diterajui Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) juga penting bagi berganding bahu bersama ibubapa, guru-guru dan pemimpin masyarakat bagi menggalakkan dan membimbing belia terlibat dalam kegiatan persatuan belia. Anak-anak remaja belia yang terlibat dalam persatuan belia dan MBM berpotensi untuk didedahkan bukan sahaja kegiatan dalam negara bahkan sehingga ke peringkat antarabangsa seperti World Assembly of Youth (WAY), Asian Youth Council (AYC), Committee of Asean Youth Cooperation (CAYC), Commonwealth Youth Council (CYC) dan Islamic Conference Youth Forum for Dialogue and Cooperation (ICYF-DC).

Apa yang suka saya perjelaskan ialah bagaimana peranan aktif ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak remaja belia terlibat dalam persatuan belia dan MBM. Ia bukan hanya menguntungkan pihak ibu bapa bahkan menguntungkan agama, bangsa dan negara apabila para remaja belia kita hidup secara sejahtera dan menyumbang secara aktif kepada nusa bangsa.

Ibu bapa wajar mengenali pertubuhan belia dan peranannya. Ibu bapa juga boleh bekerjasama dengan persatuan penduduk agar membantu mengelola penubuhan persatuan-persatuan belia dengan kerjasama majlis-majlis belia daerah yang berhampiran. Kelab Rukun Tetangga (KRT) antara entiti masyarakat yang amat releven untuk dilibatkan bersama mengelola penubuhan persatuan belia.

Besar harapan agar pihak ibu bapa, guru-guru dan pemimpin masyarakat berganding bahu menjayakan agenda yang penting ini. Syabas kepada pihak penganjur Seminar Kemahiran Keibubapaan kerana membawa kelainan dalam pengisian seminar mereka.

PENULIS ialah Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)