Kita perlu menyedari hakikat bahawa MBM bukanlah menjadi induk kerana namanya, malah nama MBM itu didarjatkan kerana mengambil nisbah susuk keorganisasian ahli gabungannya dan ahli pimpinannya.

MBM didirikan dgn penuh kesedaran dan falsafah kewajaran sebagai sebahagian cita-cita orang muda yang mahu memainkan peranan secara sukarela sebagai aktivis dan sukarelawan gerakan masyarakat sivil; memimpin pendapat, mengembala kepemimpinan dan menyuburkan segala aspirasi positif yang didasari kepada rukun-rukun manusiawi, keadilan dan berpaksi Rukun Negara dan Perlembagaan negara ini.

Sudah pastilah pelanggaran kepada niat manusiawi, keadilan, Rukun Negara dan Perlembagaan itu menjadi musuh kepada paksi diri MBM itu sendiri.

Dalam usia emas ini, MBM ada rakaman kejayaan yang luar biasa, tidak dinafi juga catatan pahit perjuangannya.

Apapun, signifikasi keberadaan MBM sebagai antara NGO tertua atas sifat gabungan di Malaysia wajar dihormati. Kemampuan MBM melahirkan pewaris bertali-tali yang wibawa dan kesungguhan MBM menzahir perjuangan bervisi adalah sesuatu yang masyarakat dan negara harus hormati.

Saya mengulangi dengan sifir mudah, sifat keindukan MBM ini adalah didiri dengan jutaan keahliannya tidak langsung yang dipayungi, dari seluruh pelosok negeri dengan 14 gabungan negeri  yang mewakili 160 gabungan daerah dan ratusan ribu pertubuhan di peringkat akar umbi.

Di Johor sahaja kini, dalam keadaan gerakan persatuan belia yang agak 'dibuli' sebelum ini, data 2017 menunjukkan ada lebih 106,000 ahli pertubuhan belia berdaftar. Sudah barang tentu seluruh negara, angkanya lebih besar.

Keseluruhan angka ini dan MBM dipaksi kepada sifatnya yang non-partisan dan bertindak menyeimbangi pemegang kuasa (kerajaan) supaya tetap di landasan wajar.

Saya jadi hairan, apabila MBM meraikan Kerajaan Baharu Malaysia dan melantik Perdana Menteri sebagai penaungnya, ada suara bungol yang meremeh dan memerli situasi ini.

Saya kira, suara sinis demikian adalah datangnya dari akal yang tidak matang, tidak tahu, tidak faham dan tidak mengenali MBM dengan dekat.

MBM tidak pernah bersifat partisan. MBM jauh dari gerakan bercorak politik. MBM hanya berpegang kepada tradisi bahadurinya iaitu menyeimbangi kerajaan, keadilan, kebenaran, Rukun Negara, Perlembagaan dan perjuangan orang muda.

Pendirian peribadi pemegang jawatan dalam MBM, MBN, MBD dan 38 Gabungan MBM, itu adalah hak peribadi. Namun, MBM tidak pernah berpihak dan memijak mana-mana NGO kepartian dan politik.

MBM tahu tanggungjawab dan had batasannya. Lagipun, maruah MBM jauh lebih bernilai daripada keseluruhan yang lahir selepas 1948 kerana perjuangan MBM sehingga kepada tuntutan membebaskn tanah ini daripada penjajahan. Jangan pernah lupa.

Maka, siapapun yang membentuk kerajaan pastilah MBM akan bersama kerana kerajaan juga hadir selepas 1948.

Pada usia emas ini, MBM mahu lebih berperanan dalam proses pemerkasaan negara bangsa dan kemajuan orang muda. Andai hidung kami tidak mancung, kami juga tidak gemar menyorongkan pipi kami.

Bukan soal kerajaan mahu atau tidak mengiktiraf MBM, sebaliknya lebih kepada MBM mahu atau tidak bekerjasama dengan kerajaan.

Rasanya, semua sudah berminda dewasa dan profesional. Tiada kepartian dalam susur galur pemikiran MBM, yang ada hanyalah, keadilan dan kebenaran yang mesti tertegak untuk rakyat tanah merdeka ini.

Sebab itu apabila, ada yang menyindir MBM sudah jilat, pusingan U dengan membawa Timbalan Perdana Menteri dalam Sambutan 7 Dekad MBM dan melantik Perdana Menteri sebagai penaung, ini nota saya; 

mbm
 

"MBM menjemput PM untuk perasmian Sambutan 7 Dekad MBM tetapi diwakilkan kepada TPM. Ini adalah penghormatan. MBM melantik PM sebagai penaung kerana paling secocok dengan tradisi dan pengiktirafan kepada sebuah organisasi besar berusia 70 tahun dua hari ini. Tun Mahathir musim kedua sebagi penaung, setelah ketika 22 tahun penggal Perdana Menteri beliau yang pertama. Jangan jadi pelik, curiga dan poyo, menyindiri MBM atas lantikan Perdana Menteri. Kami tua, kami profesional. Jangankan Tun M atau manusia lain di bumi Malaysia ini jadi Perdana Menteri, kalau gorila dipilih sebagai PM pun, MBM akan tetap menghormati dan lantik sebagai penaung kerana itu kehormatan yang dipilih oleh rakyat Malaysia secara demokrasi. Dan, MBM akan menerima, kerana keadilan dan kebenaran adalah perjuangan kami. Tapi takkanlah gorilla.... "

PENULIS ialah Presiden Majlis Belia Negeri Johor merangkap Tokoh Belia Negara 2013 dan Tokoh Belia ASEAN 2013.