MBM 7 DEKAD
 

Bangun subuh tadi, saya membelek telefon pintar dan membuka halaman ‘Muka-Buku’. Saya menemui infografik tentang Sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM). Saya pantas mengimbau coretan nadi dan denyut perjuangan 70 tahun gerakan belia berpersatuan di bumi Malaysia ini. Mengandaikan semua orang tahu, saya kira dalam penulisan ini biarlah secara ringkas dan manis, saya coretkan serba sedikit ilham ingatan saya terhadap gerakan yang telah banyak berjasa dalam menadi dan membina negara bangsa bernama Malaysia.

Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menjadi Ahli Gabungan MBM pada 1954, setelah didaftarkan secara rasmi dua tahun sebelumnya iaitu pada 1952. Gerakan belia berpersatuan dan MBNJ bagaimanapun mula pada tahun 1947 - setahun awal daripada penubuhan MBM.

Mengikut catatan akhbar lama dalam jurnal simpanan Perpustakaan Negara Singapura, 12 November 1968, bertajuk, ‘Pertubohan belia pertama tanahayer munchul di-Johor’, MBNJ ditubuh dan menjadi ahli Gabungan Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) pada 1947 yang saya kira terkesan daripada hubungan baik Kerajaan Johor dengan Tanah Inggeris.

Komponen penting MBM dalam fungsi memperkasa kewujudan masyarakat sivil yang matang di negara kita adalah dengan keberanian pimpinannya mengambil tanggungjawab untuk sama terlibat dalam segmen dunia dan nasional dalam menyuarakan, mendesak dan mempengaruhi pembuatan dasar dan keputusan.

Ada banyak wadah suara dalam memaksa kerajaan dan membimbing masyarakat ke arah pemusatan tingkah laku, pengaruh dan trend. Hal-hal ini akhirnya diterima sebagai kemahuan dan pendirian masyarakat yang akhirnya menundukkan kerajaan dalam melakukan keputusan.

Catatan awal MBM, Julai 1948 dan tahun-tahun berikutnya adalah sumbang suara orang muda Tanah Melayu ketika itu yang dikepalai oleh Allahyarham Razak Hussein (Tun), Tuanku Jaafar Ibni Tuanku Abdul Rahman dan 73 wakil lain di Brussels dalam persidangan WAY memaklumkan kepada dunia bahawa orang muda Tanah Melayu mendesak kemerdekaan dan kedaulatan bagi negara ini dan masyarakat sivil Tanah Melayu ketika itu telah bersedia mentadbir tanahnya sendiri.

Bertitik tolak dari situ, ahli WAY yang bersidang membawa input Persidangan 1948 Brussels balik ke negara masing-masing dan mencanangkan perihal tuntutan ini. Kisah seterusnya, pastilah berlanjutan sehinggalah pembentukan suruhanjaya-suruhanjaya ke arah pengwujudan Persekutuan Tanah Melayu.

Selepas catatan kejayaan besar ini, MBM terus mengorak langkah dengan 38 badan gabungannya termasuk seluruh Majlis Belia Negeri. Bentuk tekanan dan suara orang muda melalui gerakan belia terus berkumandang dengan menyeimbangkan isu-isu, situasi, komponen massa rakyat; keselamatan, pendidikan, ekonomi, modenisasi, manusiawi, polemik setempat dan keadilan.

Slogan MBM; Belia bertindak untuk kebenaran & keadilan, terus menadi perjuangan gerakan ini merentasi agama dan etnik, nasional dan antarabangsa. Ini tambah diperkemas dengan saluran perdana yang diwujudkan melalui Majlis Perundingan Belia Negara yang telah berevolusi dan dipadukan lengkap melalui Majlis Perundingan Belia Negeri dan Majlis Perundingan Belia Daerah.

Dalam penelitian saya, pendirian kementerian bertanggungjawab telah menjadikan kemuncak gerakan ini berkesan.

Ia tidak hadir bergolek. Ia hadir dengan semangat kesukarelawanan yang luar biasa dan usaha kementerian dan kerajaan membolehkan MBM dan gerakan ini berlari membawa perjuangan rakyat untuk negara. Kolaborasi ini, permuafakatan NGO dan kerajaan memungkinkan kemegahan gerakan ini.

Kelahiran program seperti PJKN, Rakan Muda dan ribuan kem dan kursus jati diri melatih keorganisasian dan kepimpinan merangsang proses kematangan gerakan belia ini. Tidak termasuk program di bawah kerajaan negeri melantun momentum luar biasa.

Sisi inilah yang melahirkan nama-nama besar pimpinan belia sehingga menjadi nadi kepada pentadbiran negara;

* Menjadi Perdana Menteri, Allahyarham Tun Razak (MYHA)

* Menjadi Timbalan Perdana Menteri , Anwar Ibrahim (ABIM)

* Menjadi Menteri Besar, Othman Saat (MBNJ-Johor), Tajol Rosli Ghazali (4B-Perak), Mohd. Khir Toyo (MBNS-Selangor)

* Menjadi Ketua Menteri, Ali Rustam dan Idris Haron (4B-Melaka)

dan ramai lagi yang menteri dan timbalan menteri.

Tidak cukup dengan itu, hasil perjuangan leluhur ini merintis denai sehingga memungkinkan Malaysia menduduki dan diberi kepercayaan menerajui WAY, Majlis Belia Komanwel, Majlis Belia Asia (AYC), Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CACY) sebagai Presiden dan Setiausaha Agung. Bukankah hebat gerakan ini?

Di akhir permulaan ini, bolehlah saya katakan bahawa MBM dan gerakan belia berpersatuan atau NGO belia ini adalah ‘trend setter’ kepada kelahiran gerakan-gerakan massa masyarakat sivil dan NGO lain di Malaysia yang jika menjengah pada rekod simpanan Pendaftar Pertubuhan mencecah ratusan ribu catatan.

REALITI

Dengan menoleh ke belakang sedikit, kita dapat gambaran bahawa ini adalah gerakan yang serius. Namun, di sebalik semua itu pada dekad akhir sebelum Sambutan 70 Tahun MBM ini, transkrip keagungan itu seperti sedikit terjejas.

Selepas Akta 668 (2006) digubal dengan perubahan terbesar dilihat pada radius umur belia ditakrif dari 15 hingga 40 tahun, telah menggegar negara dengan bertahun perbincangan hanya sekitar polemik itu.

Saya masih ingat peralihan kepimpinan MBM dimulai dengan perebutan jawatan Presiden MBM yang berakhir dengan catatan Dr. Mohamed Maliki Rapiee dipilih mengambil amanah sebagai Presiden MBM pertama di bawah usia 40 tahun. Seterusnya dituruti oleh lapisan di negeri, daerah dan akar umbi dengan menyaksikan peralihan sekitar lima tahun pimpinan belia di bawah usia 40 tahun.

Menteri bertukar mengisi portfolio kementerian. Begitu banyak isu dan keperluan dibahaskan sebagai keperluan generasi muda Malaysia. Bukan sahaja berkisar tentang pemerkasaan pertubuhan belia tetapi pergi lebih jauh dengan tuntutan menghakupayakan pertubuhan dan gerakan belia di setiap peringkat.

Semakin didesak, suara semakin tenggelam. Satu persatu program pembangunan belia, kepimpinan belia dan pertubuhan belia dikurangkan. Bantuan aktiviti dan program semakin ringan. Sedikit dan semakin cair program dan kem kepimpinan. Apabila semua ini berlaku, hakikatnya generasi muda dan belia di akar umbi gagal diperkasakan.

MBM terus bersuara melalui saluran kepentingan lain. MBM memberanikan diri bercakap tentang hak belia perihal keusahawanan, kerjaya kemahiran tinggi (TVET), ancaman trend global, revolusi industri 4.0, perkampungan global, kesihatan mental belia, kepupusan pekerjaan, ancaman nilai sejagat, gerakan kemanusiaan, budaya kesukarelawanan, masyarakat terpinggir, minoriti bandar dan sebagainya.

Dalam segala cabaran itu MBM bertandang lagi dengan segmentasi politik kesejahteraan, pendidikan infiniti, kearifan akal budi, membudaya diskusi, sukan sebagai alat uniti, inklusif, antarabangsa dan kejagatan.

Hakikatnya, semua itu tidak mampu menarik fokus agar MBM diupayakan agar menjadi induk dengan falsafah dan sejarah yang sewajarnya. MBM seolah-olah dipencilkan.

Perbincangan dan pembentukan kitab ‘perjanjian baru’ Dasar Belia Negara, saya lihat agak tidak sensitif kepada roh MBM yang didukung selama ini. Seperti kehendak segelintir orang yang mahu melihat ideanya dikedepankan. Kitaran advokasi menjadikan rundingan berat sebelah. Dalam serba ketat, MBM juga enggan melakukan provokasi sekali lagi seperti era 70-an, 80-an dan 90-an.

Manuskrip Dasar Belia Negara (DBN) boleh sahaja kita muat turun dari Google. Di situ kita akan melihat bagaimana sebenarnya Program Parlimen Belia yang baik itu menjadi program acah-acah sahaja.

Sebenarnya, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) itu lebih berkesan dan perlu diperkasa. Sebaliknya, Majlis Perundingan Belia Daerah dan Negeri ditiadakan. Bukankah itu seperti apa yang disebut dalam terminologi pemasaran; cannibalisme (kewujudan satu produk baru, membunuh produk yang lama).

Dalam kes MPBN, produk yang sangat bagus dan sistem sokongan gerakan belia yang sedia wujud selama ini hampir mati kerana ekosistemnya terputus di peringkat daerah dan negeri. Mana mungkin suara belia diangkat tinggi dengan cara begini?

Dalam DBN lagi, gerakan belia dikategorikan kepada enam jenis. Belia berpersatuan adalah salah satu daripadanya.

Sewajarnya, kementerian menggerakkan sama kategori ini dengan mempromosi dan memberi nilai tambah agar belia dan orang muda mahu menyertai pertubuhan dan organisasi belia. Bahasa mudah, memanglah disebut gerakan ini telah dicemari dengan politik belia tanpa kawalan walaupun ini hanyalah andaian.

Saya yakin dengan promosi dan galakan kementerian, pendanaan untuk pemerkasaan persatuan, program dan aktiviti yang menarik penglibatan, penyesuaian dan keseriusan kepada pengukuhan dan nilai, konsep dan intipati gerakan, organisasi dan persatuan belia, orang muda masih mahu berpersatuan.

Dengan mencipta enam segmen belia, pengalaman saya kuat menyatakan bahawa ini tidak lebih hanyalah sebagai suatu usaha terancang ‘membunuh’ gerakan belia berpersatuan. Ya, membunuh MBM!

MBM akan lebih hampir kepada kematian andai DBN diteruskan dengan takrifan umur belia 15 hingga 30 tahun. Saya tidak mahu berceloteh panjang perihal takrifan umur ini. Ada yang akan menjawab Menteri Belia kita sekarang pun, 26 tahun. Negara lain pun mentakrif usia belia hingga di bawah 25 tahun.

Orang yang berfikiran begini pada pengalaman saya, tidak sensitif, tidak realistik, tidak menilai konteks dan bukan seorang arifin dalam gerakan belia di negara kita. Saya dahului dengan maaf. Andai mampu jawab soalan saya, laksanakanlah belia bawah usia 30 tahun.

Soalannya begini; pemimpin belia bagaimana yang kita mahukan? Kalau jawabnya; berkebolehan, berkelayakan, berkemampuan. Maka, takrifan umur belia di bawah 30 tahun masih jauh dari untuk dilaksana di Malaysia.

Berkebolehan maksudnya mestilah dilatih dalam satu tempoh yang berwajaran, setidak-tidaknya 10 tahun. Saya berani memimpin sebagai Presiden MBNJ setelah 10 tahun melalui gerakan ini bermula sebagai pemandu dan pengangkat beg Penolong Setiausaha MBNJ, Cikgu Marozan Ahmad.

Berkelayakan maknanya kita mahu sekurang-kurangnya pimpinan belia kita memiliki tahap pendidikan yang tinggi. Katalah ijazah. Di Malaysia, purata rakyat memiliki ijazah pada usia 23 atau 24 tahun. Dalam tempoh selepas itu, mereka mencari kemampuan iaitu dengan bekerja atau berniaga. Bayangkan, pada usia 24 tahun bergraduan, setahun menganggur, 26 tahun dapat kerja, setahun simpan duit untuk beli kereta, 28 tahun berkira-kira untuk memiliki rumah selepas berumah tangga, bilakah masanya mahu belajar memahami kepimpinan gerakan belia dan memimpin gerakan belia?

Akhirnya, yang menjadi pemimpin belia adalah yang memiliki kemampuan kerana keluarganya orang berada. Fahami ini, saya bukan bercakap tentang memimpin di peringkat MBM, MBN atau MBD, tetapi cuba bayangkan apa yang akan berlaku di peringkat akar umbi? Bukankah gagal merancang, merancang kegagalan? Matinya pertubuhan belia di peringkat akar umbi, tidak mungkin MBM perlu lagi wujud kerana itu bukan daripada tujuannya yang utama.

Gerakan belia berpersatuan bukan suatu ke-poyo-an. Ini adalah tempat untuk melatih tanggungjawab, kepimpinan, mengurus dan amanah. Sudah sepatutnya diperkasakan. Anak muda digalak menyertainya. Supaya akan lahir generasi yang kita mahukan sebagaimana pada awalan catatan saya ini. Bukan kita mahu berbangga dengan generasi yang hanya tahu mengikut dan meniru acuan Barat, bukan kelahiran hipster dan raver yang mesti kita banggakan, bukan generasi yang enggan memegang tanggungjawab sehingga untuk menjadi pengundi berdaftar demi negara sendiri pun perlu dipujuk rayu atau dipaksa, bukan juga generasi yang hanya pandai bersuara tapi bodoh bertindak, bukan juga generasi yang membaca tajuk akhbar sahaja, bukan juga generasi yang `wali, mufti, ustaz, pendeta’ sedangkan rujukannya hanya Google semata.

Kita tidak perlu jadi seperti China. Kita tidak perlu regimentasi. Kita telah ada wadah yang baik dalam membentuk generasi. Perkasa dan suburkanlah. Bukan dilakukan sebaliknya. Kita masih ada harapan.

IDEA

Atas semua garapan yang ringkas ini. Ulasan sebenarnya lebih mengambil masa. Saya pun ambil 18 tahun untuk memahami kesucian gerakan ini.

Saya boleh bersetuju dengan segenap pembaharuan kerana saya juga percaya zaman berubah, kita perlu seiringan. Sebelum melaksana DBN, eloklah dikaji dengan lebih mendalam akta-akta lain yang bersangkutan dengan masyarakat belia dan orang muda di negara kita.

Ekosistem akta dan dasar lain inilah yang menyokong relevansi DBN. Kita boleh sahaja kata, laksanakan dahulu DBN, dasar atau akta lain yang bersangkutan akan dipinda menyusuli kesesuaian DBN. Berapa lama masa perlu diambil? Sehingga waktu itu sampai, gerakan belia berpersatuan dan MBM yang penuh dengan sejarah dan potensinya yang gemilang untuk memperkukuh Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang sejahtera dan masyarakat sivil yang matang dan berkelas dunia akan terkubur tanpa bertanda. Atau tidak menjadi mayat hidup, yang berdiri diludah, duduk dipijak.

Supaya adil, sebelum melaksana DBN, saya mencadangkan agar kita semua dan kementerian menilai penggubalan Dasar Remaja Negara (DRN). Kita mulai dengan takrifan umur belia 13 – 25 tahun. Kementerian dan MBM sama-sama fikir perihal remaja dan pembangunannya. Bukankah itu lebih baik?

Belia biarkan seperti kini kerana kerja-kerja mendidik dan memimpin mesti dilakukan secara sukarela dan dengan kemampuan yang kita sama wajari. Hal ini kerana, peringkat umur remaja inilah, individu terdedah kepada segenap ancaman yang mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku.

Saya membayangkan, antara elemen dalam Dasar Remaja itu nanti adalah pengiktirafan dan pemusatan fokus kepada susuk pelaksanaan Dasar Pekerja Belia Malaysia. Dari situ, kita mungkin boleh mengangkat warga pendidik sebagai ejen pembangunan orang muda dan belia, maka sekolah menengah boleh kita jadikan Pusat Pembangunan Belia. Selain mesra kos, cadangan ini juga rasional kerana orang muda menghabiskan banyak masa di sekolah dan guru adalah inspirasi mereka.

Idealnya, guru menjadi subset pekerja belia dan pembudayaan belia berpersatuan boleh kita cetuskan dengan pembentukan dasar pertubuhan belia berasaskan sekolah. Pertubuhan belia dan aktivisnya sedia ada yang berusia 25 tahun dan ke atas perlu bersama pihak sekolah dalam usaha ini.

Pada keseluruhan idea Dasar Remaja Negara ini, saya melihat, pada akhirnya MBM atau sifat-sifatnya dengan susuk-susuk aktivisme yang tegar perlu beranjak kepada entiti baharu, mungkin Pesuruhjaya Belia Negara. Hal ini agar, niat dan hasrat memperkasa generasi muda, memelihara warisan pusaka gerakan belia dan pembangunan holistik orang muda di negara kita dapat lebih ditenagai. Lakukanlah evolusi ini dengan bijaksana. Soalnya adakah kita bersedia?

Belia bukan hal MBM atau Kementerian Belia sahaja, sebaliknya belia adalah hal negara, dan hal kita semua.

Salam 7 Dekad Majlis Belia Malaysia!

PENULIS ialah Presiden Majlis Belia Negeri Johor yang juga Tokoh Belia Negara dan Tokoh Belia ASEAN 2013.