Kata-kata yang ringkas, namun mudah untuk difahami semua orang.

Beliau menganggap golongan muda sebagai tulang belakang negara, golongan yang perlu diberi perhatian kerana bakal mewarisi negara kelak. Hal ini kerana beliau adalah salah seorang belia yang mendapat didikan terus daripada Rasulullah SAW, yang pada zaman itu, golongan belia diberi didikan agama yang mantap, pembangunan ilmu, pelbagai kemahiran, sikap yang positif dan jati diri yang kuat.

Tidak keterlaluan jika saya katakan kerajaan Malaysia hari ini mengaplikasikan medium pendidikan zaman Rasulullah. Puluhan universiti dan ratusan institusi pengajian diwujudkan bagi memberi peluang pendidikan kepada golongan belia di Malaysia. Pelbagai kursus pengajian yang ditawarkan, dari aspek keagamaan, kehidupan, teknologi, perubatan, pembuatan dan ribuan lagi yang tidak mampu disenaraikan.

Rasanya golongan mahasiswa di Malaysia sudah sedia maklum dengan pelbagai bantuan sebelum dan semasa pengajian, tidak lagi termasuk dengan keistimewaan bergelar mahasiswa. Tiada siapa mampu menafikan kos pendidikan di Malaysia adalah antara yang termurah di dunia, dan boleh dikatakan hampir percuma.

Bayangkan saja, yuran pengajian Kursus Kejuruteraan di Scotland, United Kingdom selama empat tahun adalah RM450,000 sedangkan di Malaysia untuk tempoh yang sama, hanyalah RM8,900.

Yuran pengajian bidang perubatan di Moscow, Rusia pula kira-kira RM400,000 untuk tempoh enam tahun, manakala di Malaysia hanya RM15,000.

Semua ini adalah bukti kerajaan Malaysia hari ini begitu komited dalam membangunkan rakyat yang berilmu dan berpengetahuan, di samping pengisian kemahiran insaniah melalui program-program sepanjang tahun di universiti.

Justeru rakyat Malaysia, khususnya golongan mahasiswa, perlulah menghargai kemudahan dan nikmat yang sedang kita nikmati.

Di saat negara lain sedang bergolak, rakyat menderita, golongan belia terpaksa memilih lari atau mati, kita di Malaysia hidup dalam keadaan aman, rakyat dapat menjalani kehidupan seharian, mahasiswa dapat belajar pada siang hari tanpa gangguan bunyi letupan dan tembakan, dan dapat menghabiskan masa pada sebelah malam, minum air sambil menonton perlawanan bola sepak di warung bersama rakan-rakan.