Ini adalah intipati penting yang ditekankan oleh saya semasa sesi perkongsian pengalaman dalam Bengkel Penetapan Strategi Penguatkuasaan; Pemikiran Kreatif dan Inovatif anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Gombak, Selangor pada 24 Mac lalu.

PSH  ialah konsep pendidikan yang amat penting dalam pembangunan diri manusia. PSH perlu diterjemahkan sebagai elemen penting dalam membina masyarakat dan negara bertamadun tinggi dan maju.

PSH membawa pengertian belajar sepanjang hidup kita dan yang paling penting ialah pembangunan potensi manusia melalui proses pembelajaran berterusan yang memotivasikan dan mengupayakan individu menguasai ilmu, menghayati nilai murni yang diperlukan sepanjang hayat untuk meluaskan pengalaman hidup. 

Dalam hal ini, tegasnya, golongan belia bekerjaya sepatutnya sentiasa memberikan keutamaan kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam diri masing-masing.

Apabila setiap individu mengekalkan amalan meneroka ilmu pengetahuan dan kemahiran secara berterusan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan maka proses pembelajaran sepanjang hayat telah berlaku.

Pendidikan seumur hidup akan berlaku secara berterusan dalam diri individu yang mengamalkan sikap positif terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang baharu.

Sekiranya setiap individu mempunyai satu tekad untuk meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam hidupnya maka proses pembelajaran tidak akan berhenti begitu sahaja sebaliknya berlaku dengan pesat dan konsisten dalam diri individu tersebut.

Ini secara tidak langsung akan meletakkan Malaysia sebagai salah satu 20 buah negara maju dan hebat pada tahun 2050 seperti yang di harapkan dalam TN50.

PENULIS ialah Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM).