Matlamatnya ialah untuk mereka mempelajari ilmu dan teknologi di negara berkenaan serta membawanya pulang ke Jepun untuk dikaji dan dipertingkat sebelum dipasar ke serata dunia.
Mengambil inspirasi daripada program itu, Jepun memperkenal Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) bagi memperluas jaringan hubungannya ke negara-negara anggota ASEAN serta memperkukuh jambatan perpaduan.
Sejak dilaksanakan pada 1974, program itu memberi peluang kepada generasi muda yang berumur di antara 18 hingga 30 tahun untuk belayar bersama-sama menaiki kapal ‘Nippon Maru’.
Dalam masa 44 tahun, program perpaduan itu diperkukuh melalui pertukaran belia antarabangsa dari negara-negara ASEAN dan Jepun. Mereka akan berkumpul di Jepun sebelum belayar ke negara-negara ASEAN yang dipilih. 
Sebelum ini, kapal ‘Fuji Maru’ digunakan pada 2009 hingga 2012 apabila ‘Nippon Maru’ menjalani proses penaiktarafan.
Pada peringkat awal pelancarannya, program itu disertai lima negara anggota ASEAN iaitu Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand bersama dengan Jepun.
Setahun selepas Brunei menyertai ASEAN pada 1982, mereka menghantar peserta untuk menyertai SSEAYP sebelum ia disusuli Vietnam pada 1996, Myanmar dan Laos pada 1998 dan Kemboja pada 2000.
Objektif utama program itu, seperti yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman yang ditandatangani Ketua-Ketua Anggota Negara ASEAN dan Ketua Negara Jepun pada 1974, adalah mengukuhkan persahabatan dan persefahaman dalam kalangan generasi muda negara-negara ASEAN dan Jepun.
Di Malaysia, program itu adalah bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan dibantu oleh Persatuan Keluarga Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun atau Kabesa, yang merupakan sebuah persatuan khusus untuk bekas peserta program ini.
“KBS dan Kabesa memainkan peranan penting dalam proses pemilihan peserta dan persediaan bagi memastikan maksud dan tujuan asal program dapat dicapai dengan jayanya,” kata bekas ketua kontinjen Malaysia bagi Siri 36 pada 2009, Suhail Mohamed Kamaruddin.
Antara aktiviti yang diadakan adalah program negara, lawatan ke institusi, tinggal bersama keluarga angkat, perbincangan, persembahan kebudayaan, seminar peserta, pameran, aktiviti kelab, aktiviti kumpulan perpaduan dan pelbagai lagi aktiviti yang berubah mengikut kesesuaian penganjur.
Ia selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya sambil menyuara keyakinannya bahawa program itu, yang meraikan ulang tahun ke-45 tahun ini, akan terus berjaya memenuhi matlamatnya.
Sehingga kini, seramai 1,469 belia dari Malaysia telah menyertai program pertukaran belia antarabangsa itu, yang diadakan setiap Oktober hingga November.
Permohonan menyertai program itu boleh dibuat pada setiap Disember hingga Januari di laman sesawang Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di www.kbs.gov.my. - BERNAMA