Pada masa kini, kesemua mereka yang terlibat sedang bercuti semester sehingga awal September hadapan, memilih ‘mengorbankan’ tempoh cuti untuk menyantuni dan mendekati komuniti Islam di negara berkenaan, di samping merasai suasana merayakan Aidiladha di perantauan.
Kumpulan mahasiswa USIM yang menjayakan ibadah korban di empat buah negara ini terdiri daripada Kor Sukarelawan Siswa-siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) USIM seramai 20 orang pelajar yang menyempurnakan ibadah korban di Kampung Anoi Itam, Pulau Weh Sabang, Acheh, Indonesia; dan Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFast) seramai 23 orang yang melaksanakan korban di perkampungan Tay Ninh, Vietnam.
Selain itu, sekumpulan pelajar terdiri daripada 52 orang bawah kelab dan persatuan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM pula melaksanakan ibadah korban bersama pendudukMuslim di Krabi, Thailand, manakala 16 pelajar Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) USIM berkampung di Kampung Chnang, Kemboja untuk menunaikan ibadah korban bersama penduduk Muslim di sana. 
Menurut salah seorang pegawai pengiring GISO USIM yang bersama-sama siswa SKM di Kemboja, Mohd. Hazrul Fareeza Harun, kehadiran siswa USIM untuk melaksanakan program khidmat masyarakat khususnya ibadah korban di Kampung Chnang kali ini amat dihargai dan diraikan penduduk kampung.
“Alhamdulillah, bilangan lembu yang dapat kita korbankan sebanyak 10 ekor hasil sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak di Malaysia dengan pelajar kita turut sama membantu melakukan sembelihan korban. 
“Selain program korban, kita serahkan juga 14 buah basikal sumbangan USIM kepada kanak-kanak dari keluarga miskin di sini.
“Kami berbesar hati program ibadah korban ini turut dihadiri Menteri Tenaga dan Buruh Kemboja, Osman Hassan dan beliau memuji keprihatinan dan kesungguhan para siswa kita.
“USIM amat dekat di hati mereka kerana sebelum ini sekumpulan pelajar kita melalui platform GISO juga telah bertandang pada 2016 melakukan khidmat komuniti selain menyumbangkan satu unit pam air yang masih boleh digunakan sehingga kini untuk keperluan harian penduduk kampung” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Program GISO bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM menyediakan platform kepada mahasiswa untuk melaksanakan program kesukarelawanan yang menerapkan empat elemen iaitu libat sama masyarakat, pemindahan ilmu, pertukaran budaya dan kelestarian alam sekitar. Semenjak dilancarkan oleh USIM pada 2011, sehingga 2016 sebanyak 156 pengembaraan GISO telah dijalankan dengan penjelajahan ke lebih 20 buah negara yang melibatkan keseluruhan 3,181 pelajar terlibat. - MOHD ZAINI OTHMAN