Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ini kerana kebanyakan belia yang tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi pada pilihan raya umum lalu kerana kegagalan memahami perkara tersebut.

Katanya, gagal mendaftarkan diri sebagai pengundi secara tidak langsung menyebabkan mereka hilang hak dan kelayakan dalam menentukan hala tuju negara.

“Di sini saya mencadangkan agar (kelompok) belia ini disekolahlah kembali. Kita wujudkan sekolah politik supaya mereka tahu cakna tentang politik, setelah itu baharulah mereka hendak melibatkan diri dalam bidang ini.

"Golongan belia perlu mendaftar sebagai pengundi terlebih dahulu. Setelah itu, kita angkat mereka sebagai calon agar boleh membawa aspirasi belia ke peringkat lebih tinggi serta dasar-dasar dapat digubal sejajar dengan kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas menjadi salah seorang ahli panel dalam Konvensyen Belia Kebangsaan bertajuk ‘Cakna Negara: Demokrasi, Populisme dan Sosialisasi Politik Belia Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Konvensyen tersebut dikendalikan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha selaku moderator sementara seorang lagi ahli panel adalah Pengerusi Tetap MBM, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pelaksanaan sekolah politik tersebut bakal dilaksanakan dengan kerjasama MBM.

Katanya, sekolah politik itu berkonsep terbuka kepada golongan belia di bawa umur 40 tahun dengan menawarkan pembelajaran dan modul-modu tertentu tentang bagaimana permulaan pembentukan sesebuah negara.

“Kita boleh ajar sesiapa yang berminat, kelas akan diadakan pada hujung minggu secara terbuka dan kita menerangkan satu silibus setiap minggu ytentang pembentukan negara, bagaimana dasar-dasar negara dibentuk, bagaimana merencanakan negara dan sebagainya.

“Setelah mereka faham, mungkinlah mereka akan minat dalam politik. Yang penting, ilmu itu dapat diterapkan. Kita akan mulakan secepat mungkin kerana sekolah politik ini harus bermula daripada akar umbi lagi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE