Ujar Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah, selain memberikan peluang tersebut kepada belia termasuk seluruh rakyat Malaysia, ia sebenarnya merupakan satu alternatif bersistematik.

Tambah Zulkefli lagi, sebelum ini penulis luar terpaksa berebut untuk mendapatkan kolum masing-masing. Lebih-lebih lagi jika mahu artikel itu disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia.

“Namun demikian melalui Malaysia Kita, penulis luar tidak lagi perlu risau sama ada artikel tersebut akan ditolak atau sebaliknya.

“Selain mempunyai ruang yang lebih banyak, kami (Utusan Malaysia) mempunyai editor yang akan menyemak dan menyunting berita atau artikel yang dikongsikan,” ujarnya.

Zulkefli berkata demikian di hadapan 39 wakil persatuan belia Malaysia dalam satu majlis Sidang Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) di Hotel IOI Palm Garden Resort, Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Presiden MBM, Mua’mar Ghadafi Jamal Jamaluddin, Timbalan Presiden MBM, Mohd. Zaidi Aziz serta Pengerusi Tetap MBM, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Majlis tersebut turut menyaksikan sebanyak 4,000 akaun akhbar digital e-Paper Utusan Malaysia telah diberikan secara percuma untuk diakses dalam tempoh enam bulan oleh para belia.

Presiden Majlis Belia Hindu Malaysia, C. Arunkumar menyifatkan pendekatan yang diketengahkan Utusan Malaysia adalah relevan dengan perkembangan semasa.

“Saya lihat Malaysia Kita dapat mengekang budaya ‘keyboard warrior’ yang gemar mengecam dan melontarkan pendapat peribadi secara rambang.

“Selain itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana turut memberi peluang kepada belia India dan juga lain-lain kaum untuk menyuarakan pandangan masing-masing demi Malaysia tercinta,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE