Berdasarkan sumber daripada Perunding Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia(MSDeaf), rekod pertemuan antara Malaysia dan Uzbekistan sejak tahun 2000 hingga 2012 adalah sebanyak empat kali dan daripada pertemuan ini, Malaysia hanya menang sekali.

Rekod kemenangan 1-0 itu dicatatkan dalam Pusingan Kelayakan Bola Sepak Deaflympics Zon Asia Pasifik pada 2004 di Kuala Lumpur untuk kelayakan ke Deaflympics 2005 di Melbourne, Australia.

Menurut Manachai Sitthisarn pula selaku Ketua Jurulatih Pasukan MDT, perlawanan kali kelima menentang Uzbekistan Ahad ini adalah senario baharu buat MDT dengan dibarisi oleh pemain baharu.

"Oleh itu, rekod kemenangan pada 2004 di Kuala Lumpur merupakan penyuntik semangat kepada kami untuk melaksanakan tugas ini dengan lebih baik," katanya.

Menurut Pengurus MDT, Yusri Abdul Ghani, status fizikal pemain kini berada pada tahap yang cukup baik dan mereka akan terus dipantau dengan rapi oleh pakar fisioterapi dari Institut Sukan Negara (ISN).

Perlawanan Malaysia menentang Uzbekistan akan berlangsung pada 29 April pukul 10 pagi waktu Korea Selatan (pukul 9 pagi waktu tempatan) bertempat di Stadium Kedua Pusat Bola Sepak Changwon.

Untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Uzbekistan, rakyat dan penyokong bola sepak orang Pekak Malaysia boleh mengikuti perlawanan ini menerusi Facebook live di laman rasmi MSDeaf di www.facebook.com/msdeaf .