Anak didik Manachai Sitthisarn, Ketua Jurulatih MDT dari Thailand itu berlepas pulang ke tanah air hari ini selepas tewas kepada Arab Saudi 0-2 dalam perlawanan terakhir semalam. 

Deaf International Football Association (DIFA) baru-baru ini memutuskan bahawa enam pasukan teratas daripada 24 negara yang bertanding dalam kejohanan di Changwon ini, akan terpilih mewakili rantau Asia Pasifik ke Kejohanan Piala Dunia Orang Pekak 2020.

DIFA telah bersepakat untuk menambah bilangan penyertaan kepada 24 buah negara berbanding sebelum ini yang hanya mengehadkan kepada 16 buah negara sahaja.

Ini sekali gus melayakkan pasukan Malaysia yang diwakili MDT untuk menyertai kejohanan Piala Dunia itu yang dijadualkan berlangsung di Seoul di sini, dua tahun lagi.

Sementara itu, pasukan MDT yang segera berlepas pulang ke tanah air bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rabu ini, sempat menitipkan pesanan melalui video kepada rakyat Malaysia agar membuat pilihan yang bijak sebagai pemilih.