Diadakan hujung minggu lalu, seramai 300 peserta larian terdiri daripada siswa-siswi USIM dan orang awam berlari sejauh lima kilometer di sekitar laluan utama kampus USIM.

Pelepasan peserta pada pukul 8 pagi bermula dari Kompleks Sukan Tunku Najihah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk  Dr. Roshada Hashim yang turut sama berlari.

Selain itu, apa yang istimewanya, program larian ini turut disertai oleh 30 orang Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengambil bahagian.

“Ini merupakan larian pertama saya sekitar kampus USIM dan Alhamdulillah dapat menamatkan larian ini. Program larian yang dirancang oleh para siswa USIM saya lihat berjalan lancar dan baik. Amat menggembirakan melihat ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang awam dan lebih istimewanya pastinya kehadiran golongan OKU yang turut sama berlari,” kata Dr. Roshada.

Walaupun hanya di dalam kampus, namun program laluan larian yang ditetapkan penganjur tetap memberi cabaran kepada para peserta. 

Antara lokasi utama yang dilalui oleh peserta adalah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Permata Insan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Kompleks Islam Tuanku Muhriz dan Dewan Tuanku Canselor.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM, Syauqi Mardia Baharudin berkata, sebanyak 20 peratus daripada kutipan yuran penyertaan program larian ini akan disumbangkan kepada persatuan atau badan kebajikan yang akan ditentukan kelak.

“Program larian seumpama ini bukan sahaja untuk mendekatkan warga kampus dengan aktiviti ini sebagai aktiviti riadah yang baik untuk kesihatan dan agenda FITUSIM, tetapi dalam masa sama mempromosikan kampus USIM kepada masyarakat luar. Mereka yang kali pertama masuk ke kampus USIM memuji keindahan kampus ini dan kemudahan sukan lengkap yang dimiliki.

“Kita juga memilih OKU sebagai fokus utama larian ini bagi menunjukkan bahawa siswa-siswi universti atau lebih sesuai golongan muda sentiasa cakna dan prihatin dengan golongan istimewa ini. Apabila kita bersama-sama dengan mereka, kita lebih dapat menyelami keperluan mereka dan keistimewaan yang mereka miliki,” ujar beliau.

Penganjuran Larian Amal Light Up OKU ini merupakan antara acara utama yang diadakan bersempena Mahrajan Sambutan Fakulti Syariah dan Undang-undang kali Keenam (MANSAF 6.0). 

Turut sama menyertai larian amal ini ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Rozhan Mohd Idrus; Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Profesor Madya Dr. Mohd Radhi Ibrahim dan Timbalan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Arif Fahmi Md Yusof.