Pengarah IPDM UUM, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Sabri berkata, program Bakul Ramadan yang memasuki tahun kelima penganjurannya itu turut mendapat kerjasama daripada Utusan Online, DZ Print Enterprise, Shaidon Awang Empire Sdn. Bhd. dan jawatankuasa Surau An-Najihin.

Menurutnya, barang keperluan asas yang dianggarkan untuk kegunaan dua minggu itu diharap dapat meringankan beban keluarga yang kurang bernasib baik pada bulan Ramadan ini.

“IPDM tidak pernah gagal melaksanakan program Bakul Ramadan dengan matlamat untuk berkunjung ke daerah berbeza setiap tahun. Pada kali ini, kami memilih Kubang Rotan di Kuala Kedah manakala tahun-tahun sebelumnya di Changlun, Jitra, Kuala Sala dan Kuala Nerang.

“Tujuan kita menganjurkan program ini adalah untuk merapatkan diri dengan masyarakat dan mengenal pasti kehendak golongan yang memerlukan ini.

“Adakala kita sekadar memberi tanpa mengetahui kehendak mereka sebelum mencari jalan penyelesaian membantu mereka,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 35 penerima di pekarangan Surau An- Najihin di Taman Melati dekat sini. 

Bakul Ramadan
PENGARAH IPDM UUM, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Sabri menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada program Bakul Ramadan di Surau An-Najihin, Alor Setar, Kedah.

Sumbangan ke lima rumah penerima pula disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan serta Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Mohd. Asmirul Anuar Aris. - UTUSAN ONLINE