Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE UTeM, Prof. Madya Dr. Mohamad Zoinol Abidin Abd. Aziz berkata, program selama setengah hari itu dianjurkan universiti itu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang melibatkan 21 kanak-kanak berumur antara 10 hingga 17 tahun.

Katanya, program itu menjadi penghubung antara UTeM dengan komuniti setempat dalam merintis dan meneraju inisiatif tanggungjawab sosial universiti awam tersebut.

“Agenda ini turut membolehkan UTeM menyumbang secara terus terhadap pembangunan pendidikan di Melaka sekali gus komuniti ini merasai keberadaan UTeM di negeri ini.

“Program ini berjaya memenuhi objektif serta mendapat maklum balas positif bukan sahaja daripada peserta malahan ketua kampung turut menzahirkan harapan agar anak-anak komuniti berkenaan dapat melanjutkan pengajiannya di UTeM pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yang turut hadir pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMSK), Dr. Yogan Jaya Kumar; Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE, Syamsul Iqbal Mohd Akin dan penyelaras program, Nor Hafeizah Hassan.

Sementara itu, Nor Hafeizah berkata, program berkenaan berjaya memberi pendedahan awal kepada mereka tentang pendidikan selepas sekolah.

Katanya, antara pengisian program adalah pengenalan ringkas suasana pembelajaran di universiti di samping peluang pembelajaran yang ada selain berpeluang melihat dan mencuba sendiri aplikasi teknologi maklumat (IT) di Samsung IoT, Kampus Teknologi.

“Mereka juga dapat berinteraksi dengan pelajar UTeM menerusi penglibatan Kelab Pelajar FTMK dalam sesi bersama pelajar di Studio Media Interaktif dan Makmal Robotik FTMK,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE