Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, pelancaran produk dan inovasi itu selari dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkasakan keusahawanan pelajar dan staf melalui penghasilan produk seni.

“Melalui saranan itu, USIM mengambil peluang dengan melebarkan kreativiti seni melalui beberapa pendekatan dalam memodelkan bentuk keusahawanan seninya.

“Bagi mempromosikan produk-produk tersebut, kita lantik juga beberapa karyawan seni tanah air dalam bidang-bidang tertentu seperti Datuk Nash (Karyawan Persembahan Seni), Sharifah Khasif (Karyawan Seni Tarannum) dan ramai lagi sebagai penasihat untuk memastikan kesemua produk yang diterbitkan memenuhi kehendak Syariah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Buku terbitan terbaru itu berjudul, Rumah Fikir: 51 Kata-kata Rangsangfikir yang Menginspirasikan Insan dan Jendela Bijaksana: Di mana Tradisi Melayu dan Islam Bertemu.

Sementara itu, inovasi terbaru kedaibudaya.com merupakan medium perniagaan dalam talian yang pertama dilancarkan oleh universiti awam.

USIM juga turut melantik 17 Ikon Seni Pelajar dalam kalangan alumni universiti itu yang telah banyak menyumbang kepada industri dan masyarakat.

Pelantikan tersebut bertujuan untuk mengimarahkan seni berbudaya atau good cultural art bagi membina ketamadunan masyarakat sesuai dengan aspirasi Pusat Kebudayaan USIM iaitu Peneraju Seni Berbudaya.

Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor. – UTUSAN ONLINE