Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan berkata, justeru zaman yang serba mencabar ini menuntut lebih ramai sukarelawan berpengalaman, berilmu dan berkemahiran dilahirkan bagi menjadi 'mata dan telinga' masyarakat dalam membendung segala isu sosial yang berleluasa dewasa ini.

"Hal ini kerana, para sukarelawan yang sebahagiannya orang muda, adalah insan-insan berbudi, yang tidak dikenali, kerana tidak diberi perhatian atau tidak mencari publisiti.

"Mereka ini telah menaburkan bakti dan meninggalkan kesan abadi yang tidak terhitung banyaknya di tengah-tengah kehidupan manusia, sama ada sebagai pengongsi manfaat dan nikmat, perintis perkhidmatan, penggerak kesedaran dan penyambung suara rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jatidiri Kesukarelaan Belia (PJKB) Peringkat Negeri Johor yang diadakan baru-baru ini, atas anjuran MBM.

Tambahnya, program tersebut mendukung hasrat dan aspirasi dalam melaksanakan Agenda Sosial Negara ke arah melahirkan lebih ramai sukarelawan yang mempunyai kefahaman mendalam dan kemampuan mengurus cabaran isu-isu sosial belia.

"Sebagai sukarelawan, mereka perlu tahu faktor-faktor dan punca permasalahan agar mampu mencari cara dan penyelesaian untuk membendung gejala sosial ini," katanya.

Seramai 30 orang belia berkemahiran berlatarbelakangkan bidang automotif, kulinari, pendidikan, perubatan, pemanduan kenderaan lasak 4x4 dan pertubuhan belia. Pengisian program ini meliputi kerja lapangan, pengurusan konflik, pemikiran kreatif dan pengurusan organisasi.

Latihan dikendalikan oleh fasilitator terlatih yang diketuai oleh Abil Fikri Ahmad, seorang aktivis sosial yang berpengalaman dalam pembangunan belia positif.