Selain pelajar dari SMK Dato’ Sulaiman, sekolah lain yang terlibat ialah Sekolah Menengah Sains Sembrong, SMK Senggarang dan SMK Penghulu Saat.

Pengarah Prospek 2018, Muhammad Zharfan Nafiq Mohd. Ghafarudin berkata, Prospek telah dianjurkan oleh Kolej Kediaman Keempat UM selama satu dekad bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengenai pelbagai maklumat institut pengajian tinggi awam dan swasta.

“Selain itu, projek ini bermatlamat memberi penerangan dan kefahaman mengenai biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada para pelajar sekali gus menyuntik semangat mereka untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading,” katanya.

Program Prospek di Johor ini yang telah dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkarnain Kamisan ini adalah yang kedua pada tahun ini selepas program pertama diadakan di T.J. Danaraj, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu.

Dalam program pertama itu, sebanyak 150 pelajar dari SMK Bukit Bandaraya dan SM Sains Selangor menyertainya bersama-sama pelajar dari pelbagai tempat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Setelah melengkapkan penjelajahan Prospek ke seluruh negara tahun lepas, pada tahun ini  tiga buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor dipilih sebagai lokasi penganjuran program yang melibatkan penyertaan 30 buah sekolah.

Selepas Kuala Lumpur dan Johor, destinasi seterusnya akan diadakan di SM Sains Rembau, Negeri Sembilan pada 30 Mac akan datang.

Tambah Muhammad Zharfan Nafiq, pembaharuan telah dilakukan terhadap program ini dengan menambah modul keusahawanan dalam slot-slot yang bakal diadakan bersama pelajar sekolah menengah.

“Slot keusahawanan yang diadakan bermatlamat menjadi medium dalam memberi pemahaman yang lebih jitu dan cara yang komprehensif dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Slot itu juga diharap dapat membentuk pelajar yang mampu membina kewangan terancang untuk masa hadapan mereka selari dengan aspirasi negara iaitu melahirkan lebih ramai pencipta peluang daripada pencari peluang pada masa akan datang,” ujarnya.

Slot lain dalam modul Prospek ialah Slot Inspire to Aspire, Slot Biasiswa dan Kemahiran Temuduga, Slot Pembangunan Modal Insan, Slot Confidence in Speaking dan Slot Dari Mahasiswa kepada Pelajar.