Penerima Anugerah Utama Tokoh Siswa UiTM 2017, Muhammad Aidil Faizin Mohd. Mazni bergambar bersama piala yang dimenanginya pada majlis penganugerahan di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN ONLINE/MOHD. SHAHARANI SAIBI

Penganugerahan itu adalah hasil kecemerlangan yang ditunjukkannya dalam bidang akademik di samping kepemimpinan beliau dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh universiti itu.

Selain menerima anugerah berprestij itu, Muhammad Aidil turut mencatatkan kenangan manis buat dirinya apabila turut menerima Anugerah Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam majlis sama.

Kejayaan anak jati Kuala Langat, Selangor itu memperoleh anugerah Tokoh Siswa UiTM 2017 turut menyaksikan beliau membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil.

Turut mendapat pengiktirafan dalam majlis penganugerahan itu ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Kepujian Matematik, Nur Nissa Najwa Mohd. Sobri, 23, yang memenangi tempat kedua bagi Anugerah Utama Tokoh Siswa UiTM 2017.

Anugerah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dengan disaksikan Naib Canselor universiti itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohd. Said.

Sebanyak 18 anugerah dipertandingkan mengikut kategori masing-masing antaranya Anugerah Khas Bahagian Hal Ehwal Pelajar; Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman dan Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan.

Pada masa sama, majlis itu turut menyaksikan penyerahan akses 3,000 akaun akhbar digital (E-paper) Utusan Malaysia untuk manfaat para pelajar UiTM oleh Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Muhammad Syahid Aiman Muhammad Bazlan. Turut menyaksikan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Penyerahan akses E-paper Utusan Malaysia itu adalah atas inisiatif Kumpulan Utusan di bawah program Malaysia Kita yang melibatkan agihan sebanyak 21,000 akaun akhbar digital itu kepada pelajar di 21 universiti awam dan swasta, 34 politeknik dan 92 kolej komuniti seluruh negara.