Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup berkata, pihaknya percaya tugas membangun masyarakat Malaysia perlu ditangani secara kolektif oleh setiap entiti dalam negara, selain kerajaan yang menjadi fasilitator kepada usaha mensejahterakan rakyat. 

Ahmad Saparudin Yusup
Ahmad Saparudin Yusup

"Kepelbagaian gerak kerja, persatuan, sukarelawan dan program-program khidmat masyarakat adalah satu kekuatan besar dalam masyarakat Malaysia. Bermakna usaha ini bukan bermula daripada ’kosong’ kerana suburnya amalan kerja sukarela dalam masyarakat kita," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambahnya, MBM sebagai badan induk pertubuhan belia juga giat bergerak ke arah sama, yang mana sejak sekian lama berperanan dalam melatih para belia dengan ilmu kepimpinan berteraskan semangat kesukarelaan.

Malah atas misi itu, kata beliau,  MBM telah menubuhkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) sebagai platform menghimpunkan aktivis belia berdasarkan fokus bidang pengkhususan masing-masing.

"MBM menginsafi tugasan membangun masyarakat ini memerlukan kefahaman yang mendalam dan semangat kental tanpa jemu. Amat penting usaha mereka ini diberi pengiktirafan sewajarnya malah dijadikan profesion atau kerjaya.

"MBM berpandangan pekerja sosial perlu diangkat kedudukan mereka melalui pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam masyarakat. Atas sebab itu adalah penting pensijilan terhadap kerja yang mereka jalankan dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun pada masa yang sama, MBM mahukan pihak kementerian meneliti dan mengkaji sebab-sebab penolakan terhadap usul ini pada 2010 agar benar-benar difahami pelaksanaan dan manfaatnya kepada masyarakat serta tidak mematikan nilai asas kerja sukarela.

Sebagai sebuah NGO belia terbesar, beliau melihat penglibatan belia dalam sesi rundingan dan ‘melampas otak’ sangat dihargai terutamanya dalam menggabung jalin antara pekerja belia dan pekerja sosial ini. 

"Akhirnya MBM optimis bahawa misi membangunkan peradaban mesti didokong oleh sektor masyarakat yang prihatin dan kesungguhan kerajaan dalam memberi pengiktirafan sewajarnya kepada seluruh usaha murni ini," tambahnya. - UTUSAN ONLINE