Kunjungan hampir sejam yang diketuai Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbuddin Hashim dan dihadiri 30 orang Exco dari seluruh negara itu, sempat membincangkan matlamat dan hala tuju terkini MAYC bagi membantu kerajaan merealisasikan dasar Transformasi Negara 2050 (TN50).


Ahmad Zahid yang pernah menjadi ahli MAYC sebelum ini, meminta agar persatuan itu melakukan penjenamaan semula dan tidak lagi hanya menjalankan program-program bersifat konvensional.


Beliau yakin MAYC mampu berubah mengikut zaman untuk kekal relevan pada masa hadapan.


Dalam kunjungan sehari ke Parlimen itu, upacara memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara Sekretariat Bebas Bankrap (SBB) 2.0 dan Jabatan Insolvensi turut berlangsung pada sebelah petang.


MAYC selaku persatuan belia yang terpilih untuk menganggotai SBB2.0 turut hadir. MoU ditandatangani oleh Datuk Sohaimi Shahadan selaku Pengerusi Sekretariat SBB2.0 manakala Jabatan Insolvensi diwakili Ketua Pengarah Insolvensi Datuk Umar Saifuddin Jaafar.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said turut hadir menyaksikan upacara itu bersama-sama Exco MAYC Kebangsaan sebagai tanda menyokong usaha SBB2.0 bagi membantu pihak-pihak yang teraniaya akibat status bankrap mereka selama ini.


Mohd. Syahbuddin turut menerima watikah pelantikan MAYC sebagai badan gabungan SBB2.0.-UTUSAN ONLINE