Berucap semasa menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan Kali Ke-58 di sini, Sabtu lalu, beliau menekankan betapa perlunya perubahan itu dilakukan termasuk dari segi sikap dan pendekatan agar MAYC terus relevan di mata anak muda.

"MAYC kini sudah berusia 64 tahun. Sekiranya kita mahu pergi lebih jauh, mentaliti dan pendekatan kita selama ini harus diubah," tegasnya. 

Upacara perasmian mesyuarat agung tahunan MAYC itu disempurnakan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Mohd. Syahbuddin turut mengingatkan para perwakilan yang hadir bahawa persatuan belia hari ini wajib mempergunakan  platform media sosial yang ada untuk mendekati golongan muda.

"Orang muda hari ini semakin kurang menonton televisyen mahupun membaca akhbar, mereka lebih gemar mendapatkan informasi dan maklumat melalui media sosial. Jadi, kita harus menyalurkan maklumat kepada mereka menggunakan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mua'amar Ghadafi memuji usaha-usaha yang diambil MAYC dalam mempersiapkan barisan kepimpinan muda masa hadapan.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada MAYC kerana telah memperkenalkan MAYChampion iaitu sebuah program khusus untuk melahirkan kepimpinan muda masa hadapan yang berkualiti dan berwibawa," katanya.

Seperti Mesyuarat Agung Tahunan sebelum ini, jasa dan pengorbanan mantan ahli-ahli MAYC turut dihargai dengan pengurniaan pingat Jasa Cemerlang (JC).

Nik Farah Nik Kamal perwakilan dari negeri Kelantan melahirkan perasaan bangga kerana dapat turut bersama dalam Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan Kali Ke-58 ini.

"Saya berasa amat bertuah kerana dapat bersama rakan-rakan perwakilan dari seluruh negara hari ini. Tujuan kami semua hanya satu, menjadi golongan anak muda yang mampu untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya. - UTUSAN ONLINE