Presiden MAYC, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, mesyuarat ini cukup signifikan kerana buat pertama kalinya dalam sejarah negara, peralihan kerajaan telah berlaku dalam suasana tenang mengikut amalan demokrasi.

" Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuka mata kita bahawa peranan golongan muda masa kini tidak boleh dipandang enteng. Apabila mereka nekad, mereka akan lakukan apa yang mereka katakan dan ini dapat dilihat daripada keputusan pilihan raya yang baru lalu," katanya.

Justeru beliau menegaskan MAYC selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah ditubuhkan semenjak 1954 dan kini mempunyai keahlian hampir 40,000 orang belia daripada pelbagai latar belakang di 12 negeri di Semenanjung, perlu lebih memahami sikap dan kehendak golongan muda pasca PRU-14.

MAYC yang diketahui cukup aktif dalam menganjurkan program-program kebajikan dan khidmat masyarakat sehingga kini telah berjaya melahirkan ramai pemimpin di peringkat negeri mahupun nasional.

Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan, Wan Khatijah Shavouroza Mior Idris pula menambah, Malaysia Baharu telah mengangkat seorang wanita menjadi Timbalan Perdana Menteri dan perkembangan ini sudah pasti menaikkan semangat beliawanis MAYC untuk lebih memberi nilai tambah kepada pembangunan belia dan negara.

Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan Kali Ke-58 yang dijadual bermula pukul 11 pagi akan dirasmikan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamaluddin pada majlis perasmiannya pada pukul 4 petang. 

Seramai hampir 600 perwakilan dari seluruh negara dijangka mula membanjiri Kompleks MAYC di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, esok. - UTUSAN ONLINE