MDT yang memulakan jaringan pada minit kelapan oleh Faza Firdaus Mohamad berjaya melepasi perangkap offside dan penjaga gol lawan.

Jaringan kedua MDT pula disumbangkan oleh ketua pasukan Razilawali A. Wahab hasil hantaran kemas daripada pemain muda Muhammad Ameerul Eizlan Ehwan pada minit ke-20.

Menyambung babak kedua, MDT yang menyasarkan kemenangan besar ke atas Oman hari ini dilihat hambar berikutan corak pengendalian pengadil yang mencetuskan kontroversi. Hal ini jelas apabila Razilawali dilayangkan kad kuning kerana mengasak pemain Oman tanpa diberi amaran awal.

Razilawali turut diberi amaran kerana menendang bola ke arah gol lawan selepas tiupan wisel sedangkan beliau tidak mendengar bunyi tiupan wisel pengadil dan pada masa sama, beliau telah membelakangi pengadil garisan yang mengangkat bendera.

Kerapuhan benteng pertahanan dan ketumpulan serangan, menyebabkan pasukan Oman berjaya mengikat MDT dengan jaringan pada minit ke-60 dan minit ke-65.

Akhirnya MDT berjaya menarik nafas lega apabila Edelson Dell Evaristus pemain sayap kanan kelahiran Tawau, Sabah, berjaya menyumbat gol penyelamat pada minit ke-89 hasil hantaran tepat Mak Chee Weng.

Tamat masa penuh perlawanan tempat kelima hingga lapan menyaksikan MDT menumpaskan pasukan Oman dengan jaringan gol 3-2.

MDT masih memiliki baki satu perlawanan menentang Arab Saudi bagi merebut tempat kelima kejohanan bagi melayakkan negara ke Piala Bolasepak Pekak Dunia pada tahun 2020.

Dalam satu lagi perlawanan di Changwon di sini hari ini, Arab Saudi berjaya menumpaskan Uzbekistan dengan kemenangan tipis 2-1.