Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada setiap 15 Mei, pihaknya berpandangan bahawa kerajaan perlu meneruskan program-program intervensi khusus bagi menangani isu besar dan penting yang membelenggu generasi muda.


“Antara perkara yang perlu dipandang serius ialah masalah gejala sosial dalam kalangan generasi muda khususnya berkaitan penyalahgunaan dadah. Isu ini telah berlarutan sejak sekian lama dan sehingga hari ini masih berlaku secara berleluasa.


“GPMS juga melihat isu penjualan dadah yang mudah didapati dalam pasaran yang berpunca atas faktor kelemahan penguatkuasaan juga perlu ditangani secara serius selain faktor sekeliling iaitu keluarga, suasana pembelajaran di sekolah serta komuniti yang menyumbang kepada masalah gejala dadah sehingga berterusan ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Sehubungan itu juga, tambah Zambri, GPMS mencadangkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas ataupun ‘task force’ yang memperuntukkan kuasa lebih luas bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan memantau semua agensi terlibat dalam menangani isu tersebut. - UTUSAN ONLINE