Terbaharu, penyelidik FST berjaya mengharumkan nama USIM di peringkat antarabangsa apabila dianugerahkan pingat emas dan berlian pada International Invention of The Year dalam Pameran Penciptaan British (BIS) 2017 di United Kingdom.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, tambah membanggakan apabila baru-baru ini, FST merangkul dua anugerah utama untuk kategori prasiswazah pada Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA).

"Dua anugerah utama itu ialah Anugerah Al-Khawarizmi melalui produk Lab In A Box dan Anugerah Inovasi Islam melalui produk ARSOM : Arabic Sign Languange Learning Android Apps Using Augmented Reality," ujarnya.

Sejak ditubuhkan pada 2003, FST menawarkan enam program akademik berteraskan sains yang diadunkan bersama ilmu-ilmu Islam bagi menonjolkan elemen Sains Islam.

Sempena menyambut usia penubuhannya ke-15 tahun ini, FST telah mengadakan majlis khas iaitu Sambutan 15 Tahun FST bertemakan, Bridging Science and Society yang disempurnakan perasmiannya oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM pada Isnin, 26 Mac lalu.

Buat masa kini, FST mempunyai seramai 1,622 orang pelajar sarjana muda serta 193 orang pelajar pascasiswazah dari dalam dan luar negara. Fakulti ini turut terkehadapan apabila 89% daripada 98 orang kakitangan akademiknya mempunyai Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai disiplin ilmu.

“Sejajar dengan perkembangan USIM dalam penyelidikan dan inovasi, FST menjadi antara penyumbang utama perkembangan pesat itu menerusi keterlibatan dalam penyelidikan yang aktif, anugerah penyelidikan peringkat dalam dan luar negara serta rekod penerbitan ahli akademiknya yang cemerlang," ujar Musa.

Di majlis sambutan ulang tahun FST itu, Tunku Ali Redhauddin turut berkenan melancarkan buku khas,  Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli terbitan fakulti berkenaan.

Beliau turut berkenan merasmikan kafe istimewa yang diwujudkan oleh fakulti iaitu Bake N Brew Café. Selain menjadi salah-satu cabang penjanaan kewangan, kafe itu turut menjadi tempat latihan amali kepada para pelajarnya.

Turut dirasmikan beliau ialah Makmal STREAM (Science, Technology, Religiosity, Engineering, Art and Mathematics) yang pertama seumpamanya di Negeri Sembilan. Makmal itu dibuka kepada umum dan dijangka dapat menarik minat pelajar sekolah terutamanya untuk melihat pameran menarik bertemakan teknologi sains, kejuruteraan dan matematik serta berpeluang melakukan eksperimen interaktif yang terdapat di dalamnya. 

FST-USIM4
TUNKU ALI REHDAUDDIN selaku Pro-Canselor USIM berkenan bergambar dengan para penuntut Fakulti Sains dan Teknologi (FST) universiti itu.

Bagi memeriahkan lagi ulang tahun penubuhan FST, pelbagai acara berimpak tinggi telah dirancang sepanjang tahun ini antaranya World Science Day, Science Camp, National Islamic Science Seminar, Aturkreatif, ICT Click dan majlis makan malam alumni.