Forum yang bertemakan Powering Our Common Future ini menghimpunkan lebih 500 pemimpin muda dan penggerak belia dari seluruh Komanwel bagi membincangkan topik-topik yang dialami anak muda termasuklah isu pengangguran, hak asasi manusia, kesamarataan gender dan perubahan iklim sejagat. 

Delegasi Belia Malaysia diketuai oleh Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid. Turut serta Ahli Majlis Perundingan Belia Negara, Al-Yashir Yahaya dan  dua wakil Parlimen Belia Malaysia, Nurshafiqah Zarina dan Kabelan P Manickavelu. 

Mohd. Izzat Afifi ketika dihubungi berkata, forum ini memberi penekanan mempersiapkan belia mendepani Revolusi Industri 4.0 yang memberi kesan amat besar kepada 1.4 bilion belia di seluruh negara Komanwel, selain menelusuri persiapan belia di 53 negara Komanwel memperjuangkan Matlamat Pembangunan Lestari yang disasarkan tamat pada 2030. 

Dijangka satu resolusi akan dikeluarkan kepada Ketua-Ketua Kerajaan bersabit beberapa isu perbincangan utama forum berkenaan antaranya pekerjaan dan pengangguran, hak asasi dan keselamatan global. Isu perubahan iklim juga ditekankan kerana kenaikan paras laut telah memberi kesan kepada negara-negara Komanwel khususnya di kepulauan di Carribean dan Pasifik.

Perasmian forum itu semalam telah disempurnakan oleh Putera Harry yang dilantik sebagai Duta Belia Komanwel oleh Ratu Elizabeth II.