Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, walaupun memahami kesulitan ekonomi yang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan hari ini, Belanjawan 2019 ternyata lebih besar daripada belanjawan tahun lalu, dan ini sepatutnya dapat merealisasikan beberapa harapan utama golongan belia. 

SYAHBUDDIN
SYAHBUDDIN 

Menurutnya, MAYC bersyukur dengan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 namun kadarnya masih jauh seperti yang dijanjikan sebelum ini iaitu RM1,500 dan pihaknya memohon agar kerajaan dapat menilai semula perkara ini.

"Rata-rata golongan belia B40 lega apabila kerajaan masih meneruskan Bantuan Sara Hidup (BSH) namun amaunnya masih kurang jika dibandingkan dengan kerajaan terdahulu. Oleh yang demikian, MAYC berharap agar suatu kajian semula dapat dijalankan agar jumlah (BSH) ini dapat dipertingkatkan.

"Sebahagian besar golongan  belia berada diluar bandar dan hanya menjalankan kerja-kerja kampung, jadi saya rasakan kerajaan harus memikirkan program bantuan khusus kepada golongan belia luar bandar seperti pesawah, nelayan dan petani," katanya kepada Utusan Online. 

Memandangkan Belanjawan 2019 kali ini tidak langsung menyentuh mengenai bantuan pentadbiran kepada persatuan-persatuan belia, MAYC turut memohon agar perkara ini dapat diteliti semula.

Dalam pada itu, Syahbuddin berkata, MAYC tetap menerima baik usaha kerajaan yang telah memberikan peruntukan terbesar (RM60.2 bilion) kepada Kementerian Pendidikan. MAYC percaya untuk melahirkan golongan belia yang berwibawa pada masa hadapan, pendidikan haruslah diberikan keutamaan yang utama.

"MAYC turut menyambut baik usaha kerajaan untuk memupuk nilai moral dan patriotisme di kalangan golongan belia dengan memperkenalkan Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) dengan peruntukan berjumlah RM70 juta.

"Hasrat kerajaan untuk melaksanakan program Apprenticeship dan Graduate Enhancement Programme For Employbility (GENERATE) dilihat tepat pada masanya namun peruntukan sebanyak RM20 juta dengan sasaran 4000 belia graduan dan lepasan sekolah adalah terlalu kecil," katanya.

MAYC percaya kerajaan hari ini sentiasa menjaga kepentingan anak muda dan golongan belia yang suatu hari nanti akan mewarisi negara ini, oleh yang demikian amatlah diharapkan kerajaan dapat mengambil maklum dan melakukan penambahbaikan terhadap Belanjawan 2019.

MAYC yakin dan percaya kerajaan hari ini mampu untuk mengembalikan kehebatan Malaysia sebagai Harimau Asia. Namun dalam masa yang sama MAYC akan terus menjadi suara pendesak mewakili anak muda dan golongan muda di negara ini.