Majlis pelancaran anugerah dan pembukaan pencalonan dianjurkan oleh JCI Petaling Jaya, Selangor sebagai hos untuk JCIM SDA 2018, bagi pihak JCI Malaysia.

Pengerusi JCIM SDA 2018, Mikasa Chong berkata, pencalonan anugerah ini terbuka kepada semua jenis syarikat termasuk mikro, kerjasama, perusahaan kecil dan sederhana, syarikat multinasional, agensi berkaitan kerajaan serta organisasi.

Anugerah ini akan diberikan kepada projek pembangunan lestari yang dijalankan oleh syarikat dan organisasi Malaysia yang memajukan mana-mana 17 Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-bangsa Bersatu (17UNSDG).

Pencalonan dibuka bermula 1 April lalu hingga 30 Jun ini dan penyertaan perlu dihantar secara atas talian di www.jcimsda.com. 

Yuran penyertaan ialah RM800 untuk syarikat dan RM300 untuk NGO akan dikenakan kepada mana-mana organisasi yang berminat. 

Seramai 40 finalis akan disenarai pendek dari semua pencalonan yang diterima dari seluruh negara manakala 17 pemenang dan satu pemenang hadiah utama akan diumumkan dalam majlis yang akan diadakan pada September depan.

Mantan Presiden JCI Malaysia, Senator Nurul-Huda memaklumkan, projek itu dilancarkan berikutan Deklarasi JCI Malaysia pada tahun 2015 untuk mempromosikan UNSDG kepada ahli JCI dan orang awam. 

JCIM SDA direka dan diluluskan pada tahun 2016 oleh Lembaga Pengarah JCIM manakala JCIM SDA pertama dianjurkan pada tahun 2017. 

Anugerah ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Belia Malaysia (MBM). 

Anttara pemenang JCIM SDA yang lalu ialah Microsoft, Mah Sing Group, Sime Darby Properties, Sunway Tambun, PKT, JCI Butterworth City, Yayasan Budimas, SWEPA dan banyak lagi.

JCI merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan global terdiri daripada lebih 200,000 warga muda yang aktif berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Kesemua ahli yang menganggotai JCI berdedikasi untuk mewujudkan perubahan positif dalam masyarakat mereka dan di seluruh dunia. 

Terdapat lebih 5,000 organisasi tempatan JCI di lebih 120 buah negara di seluruh dunia yang mencari penyelesaian yang disasarkan kepada keperluan tempatan dalam mewujudkan kesan positif. 

JCI merupakan ahli bersekutu JCI dan Majlis Belia Malaysia dengan 68 organisasi tempatan JCI di seluruh negara dan beribu pejabat di Taman Setiawangsa Kuala Lumpur. 

JCIM SDA pada tahun ini akan dihoskan oleh JCI Petaling Jaya (JCI PJ), salah satu organisasi tempatan yang memenangi pelbagai anugerah di Malaysia dan antarabangsa, dan ditubuhkan sejak tahun 1981. JCI PJ telah bekerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk Tabung Amanah Leukemia dan Kanser, dan sebahagian daripada tiket yang dijual untuk majlis anugerah JCIM SDA tahun ini akan disumbangkan kepada dana ini. Maklumat lanjut mengenai JCIM SDA boleh didapati di www.jcimsda.com.