Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbuddin Hashim yang turut serta bersama-sama ahli MAYC dari seluruh negara pada acara itu kelmarin, percaya segala permasalahan anak muda kini akan dibantu untuk diselesaikan secara bersungguh-sungguh sepertimana diikrarkan dalam manifesto #JomBN itu.

"Manifesto ini membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) benar-benar mengambil berat permasalahan golongan muda yang meliputi sebahagian besar daripada rakyat negara ini," katanya.

Tambahnya, ahli-ahli MAYC yang ditemui rata-ratanya turut berpuas hati dengan pembentangan manifesto khas anak muda yang dibentangkan oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin,   yang mencakupi lapan elemen utama khusus buat golongan muda.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, laman sesawang dan media sosial itu dihadiri anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang.

Khairy dalam ucapannya menegaskan bahawa Jaminan Orang Muda BN ini bukan hanya manifesto pilihan raya untuk tempoh lima tahun mendatang tetapi juga adalah sebuah perancangan jangka panjang menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).