Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, komitmen itu adalah janji pertubuhan induk belia itu selaras dengan usaha berterusan menerapkan pendidikan demokrasi berperlembagaan dalam membentuk sahsiah dan semangat patriotik belia tempatan.

Beliau berkata demikian sewaktu mengetuai barisan kepimpinan MBM melakukan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah di Pejabat SPR di sini, semalam.

Pada pertemuan, Mua'amar Ghadafi  turut menyerahkan sebanyak 395 borang Pemerhati Tempatan (NGO) kepada Mohd. Hashim.

Mohd. Hashim antara lain mengalu-alukan komitmen MBM dan bersedia membantu memberi penerangan kepada golongan belia tentang fungsi SPR yang antara lain bertanggungjawab menyediakan fasiliti dan memastikan perjalanan pilihan raya dikendalikan oleh rakyat. 

Beliau berharap Pemerhati Tempatan MBM yang diamanahkan tugas berkenaan dapat menyediakan laporan yang tulen dan benar berhubung pemerhatian mereka di lapangan terhadap perjalanan proses pilihan raya dan cadangan penambahbaikan.

Ini bertujuan, katanya, mengelakkan persepsi buruk terhadap perjalanan pilihan raya.

Dalam pada itu, MBM akan mengerakkan siri dialog bagi memberi pendedahan kepada belia tentang tatacara pilihan raya dengan menjemput panel daripada SPR. 

MBM juga akan membuat hebahan dan kempen tentang aplikasi “MySPR Semak” iaitu applikasi semakan daftar pemilih secara dalam talian.