Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Strategik USIM, kumpulan pelajar ini akan mendaftar sebagai mahasiswa USIM pada Khamis, 20 September 2018 dalam pelbagai bidang pengajian bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Saluran kemasukan khas ditawarkan oleh USIM hanya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu RM3000 sebulan ke bawah dan miskin (B40).

Permohonan melalui saluran khas ini dibuat terus ke USIM melalui borang khas yang disediakan tanpa melalui permohonan atas talian di Unit Pengambilan Pelajar (UPU), Kementerian Pendidikan.

Selain para pemohon perlu menepati kriteria pendapatan isi rumah yang dinyatakan, mereka juga wajib memenuhi syarat am dan syarat khas pengajian yang ditetapkan oleh universiti untuk layak dipertimbangkan.

Pada tahun ini, sebanyak 367 permohonan awal diterima dengan 303 permohonan melepasi saringan sebelum hanya 137 pemohon disenarai pendek untuk diberikan tawaran melanjutkan pengajian.

USIM menetapkan kuota pengambilan melalui saluran ini adalah 200 orang sahaja.

USIM menyambut baik dan menyokong program kemasukan laluan khas B40 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan untuk dilaksanakan oleh setiap Universiti Awam (UA).

Program ini dilihat bakal menjadi ‘jambatan’ dan peluang istimewa kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di universiti.

Saluran Kemasukan Khas B40 ini secara langsung menjadi medium alternatif bagi pelajar sekolah agama yang cemerlang akademik namun datang dari keluarga susah untuk melanjutkan pelajaran ke USIM melalui laluan pantas.

Dijangka pada pendaftaran esok hari, seramai 210 orang pelajar rayuan akan turut mendaftar bersama-sama kumpulan pelajar B40 ini.

Pada sesi pendaftaran pelajar baharu Sarjana Muda USIM yang diadakan pada 4 September lalu, seramai 2,198 pelajar telah mendaftar.