Hidangan moreh selepas selesai solat sunat tarawih ini disediakan atas inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) prihatin iaitu Unggas Kuala Lumpur, Small Lamb, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB).

Menurut Pengerusi Unggas Kuala Lumpur, Vimmi Yasmin, aktiviti amal itu dapat diadakan setiap tahun pada bulan Ramadan di masjid berkenaan atas sumbangan pelbagai pihak termasuk orang awam.

Sementara itu, Ketua Penerangan MBM, Mohammad Rizan Hassan memberitahu penglibatan pihaknya selaku badan induk belia pula adalah dengan menggerakkan sukarelawan anak muda untuk turut serta dalam menjayakan program berkenaan.

"Kita mengajak lebih ramai sukarelawan dalam kalangan orang muda untuk membantu menyediakan hidangan kepada lebih 1000 orang yang hadir pada setiap malam Sabtu,” katanya.

Pada masa sama, tambah beliau, pihaknya juga menggalakkan anak-anak muda yang terdiri dalam kalangan belia agar mengimarahkan masjid sepanjang bulan yang mulia ini, yang secara tidak langsung mengajak mereka ke arah kebaikan dan meninggalkan gejala negatif yang hanya merugikan mereka.