Video oleh MOHD. ZAINI OTHMAN

Seramai 15 orang siswa USIM dari kampus Nilai, Negeri Sembilan, berada selama seminggu di Sri Lanka baru-baru ini di bawah program Global Islamic Student Outreach (GISO) dengan pengisian khidmat komuniti dan pertukaran ilmu bersama masyarakat Islam di sana.

Kunjungan mereka yang juga ahli Kelab Debat USIM terdiri daripada pengurusan dan pendebat universiti, turut disertai Penasihat Kelab, Mohd. Zaini Othman selaku pegawai pengiring.

Mempunyai penduduk seramai 21.2 juta, penganut agama terbesar di Sri Lanka ialah Buddha iaitu kira-kira 70.19 peratus, diikuti Hindu sebanyak 12.6 peratus, Islam dengan 9.7 peratus dan selebihnya Kristian.

“Hari pertama kita tiba di Sri Lanka ini, siswa USIM amat bersemangat untuk menyantuni komuniti Islam di sana, mereka bertemu pendidik dan pelajar Kal Eliya Muslim Ladies Arabic College dan Aysha Siddeqa Arabic College. Pada hari yang lain, kita mengadakan kunjungan muhibah ke Persatuan Mahasiswa Islam Peradeniya University dan program motivasi bersama anak-anak kecil Madrasah Hira Pre School. Lokasi setiap institusi pendidikan yang kita kunjungi ini adalah jauh antara satu-sama lain.

“Sepanjang di sini, kita juga menziarah komuniti minoriti Islam di beberapa daerah di Sri Lanka iaitu di Pasyala, Mawanella, Nuwara Eliya, Pinnawala dan berpeluang menunaikan Solat Jumaat bersama masyarakat Islam di salah sebuah masjid yang terletak di daerah Gampola.. Lokasi paling jauh kita pergi ialah bertemu minoriti muslim di Kandy yang terletak di Wilayah Tengah Sri Lanka.

“Untuk tiba di sana, memerlukan perjalanan darat sekitar empat jam dari ibu kota Colombo. Di Kandy ini, kita serahkan bantuan keperluan harian seperti gula, susu dan tepung kepada 15 keluarga masyarakat Islam yang miskin dan sumbangan sejadah tajaan Jakel untuk Masjid Jumaat Pussellawa ” ujar Mohd Zaini.

Siswa USIM bekerjasama dengan Muslim Foundation For Culture and Development (MFCD), sebuah NGO Islam terbesar di sana. Semasa di Sri Lanka juga, siswa USIM  turut mengambil peluang menyelami kebudayaan tempatan selain melawat beberapa lokasi menarik yang menjadi tumpuan pelancong luar antaranya Glenloch Tea Factory, air terjun Ramboda, empangan tasik Kande Ela, ladang tenusu Ambewela, Masjid Merah Jami-Ul-Aftar dan pantai Hikkaduwa.

Melalui penganjuran GISO ini, memberikan impak yang positif kepada para pelajar dalam aspek melahirkan mahasiswa yang berketerampilan, berkepimpinan dan prihatin sekaligus melahirkan warganegara Malaysia yang cakna dan peduli dengan isu-isu masyarakat global.