Bagaimanapun bagi anak-anak yatim piatu atau datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan, perasaan dan persiapan mereka pastinya tidak sama seperti kanak-kanak lain.

Justeru baru-baru ini, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ihtisas (Pragmatis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad menziarahi mereka bagi mendekati dan menggembirakan kanak-kanak ini melalui Program Jelajah Sahur 3.0 Pragmatis.

Sepanjang Ramadan ini, penganjuran majlis berbuka bersama anak yatim dan miskin selalu diadakan, tetapi USIM memilih pendekatan berbeza menganjurkan program sahur bersama mereka. Sebanyak dua buah rumah penjagaan anak-anak yatim dan miskin telah dipilih sebagai lokasi Jelajah Sahur ini. 

“Pada program Jelajah Sahur 1.0 Pragmatis pada tahun lalu, kita memilih untuk menyantuni dan menzirahi para petugas badan beruniform untuk menyampaikan sumbangan juadah bersahur. 

“Pada masa itu, kita pergi ke beberapa lokasi untuk agihan juadah sahur seperti Balai Bomba Nilai, Pejabat Tenaga Nasional (TNB) Bandar Baru Nilai, Balai Polis Pekan Nilai Lama, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan staf perubatan Nilai Medical Centre” ujar Presiden Pragmatis, Salehudin Sukor.

“Untuk kali ini, Alhamdulillah Naib Canselor bersama 11 orang pentadbir USIM bertolak sekitar pukul 4 pagi dari Canselori menuju ke lokasi pertama untuk disinggahi iaitu Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah yang terletak di Salak Tinggi, Selangor.

“Ketibaan krew Jelajah Sahur telah disambut oleh wakil pengurusan dan anak-anak di sini yang telah sedia menanti untuk menerima juadah sahur yang disediakan. Selain juadah sahur, USIM melalui Penerbit USIM turut menyumbangkan bahan bacaan ilmiah untuk dimanfaatkan para penghuni di sini,” tambahnya.

Perjalanan diteruskan ke lokasi kedua yang terletak kira-kira 15 kilometer iaitu Rumah Anak Yatim dan Miskin, Taman Semarak Nilai. Di sini, Naib Canselor bersama krew Jelajah Sahur 2.0 mengambil peluang bersahur dan solat Subuh bersama-sama dengan anak-anak dan kakitangan rumah anak yatim ini.

Selepas Solat Subuh telah diadakan majlis ringkas bagi menyampaikan sumbangan duit raya dan kelengkapan persekolahan yang disempurnakan oleh Naib Canselor.

Ditemui selepas majlis selesai, beliau memuji inisiatif program Jelajah Sahur yang diaturkan kerana telah membawa USIM mendekati dan peduli dengan masyarakat sekitar selain satu amal kebaikan yang diberi ganjaran pahala berganda di bulan Ramadan yang mulia ini.