Guru, ibu bapa, dan penyedia penjagaan kesihatan memainkan peranan penting dalam mendidik orang muda agar tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah apatah lagi ketagihan.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusop kesal kerana masih ramai yang tidak faham mengapa atau bagaimana seseorang itu boleh ketagihan dadah.

"Ramai yang tersilap bahawa mereka yang menggunakan dadah tidak mempunyai prinsip moral atau kemahuan dan mereka boleh menghentikan penggunaan dadah dengan hanya memilih untuk berhenti.

"Sedangkan jika golongan ini tidak diberi pendedahan dan kefahaman atau dipinggirkan begitu sahaja, mana mungkin mereka dapat kembali ke pengkal jalan," katanya ketika menelusuri sekitar Chow Kit bagi menyantuni golongan berisiko khususnya pengguna dadah di jalanan.

Seramai 20 orang sukarelawan MBM dan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) terlibat dalam program Salam Anak Muda bersama golongan terpinggir baru-baru ini. Turut hadir Ketua Penerangan MBM, Mohammad Rizan Hassan, serta aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi dan Nor Akmar Ali.

"Ketagihan dadah adalah penyakit yang rumit, dan untuk berhenti biasanya memerlukan lebih daripada niat baik atau kehendak yang kuat. Dadah memberi kesan kepada otak dan pengguna dadah menghadapi kesukaran untuk berhenti, walaupun ada keinginan tinggi berbuat demikian.

"Justeru, sokongan masyarakat amat penting sebagai satu kaedah rawatan yang dapat membantu mereka pulih daripada ketagihan dadah dan seterusnya kembali menjalani kehidupan yang produktif," tambahnya.

MBM dan FKPB serta para aktivis sosial akan sentiasa berkolaborasi menerusi aktiviti sebegini dalam mengangkat nilai kemanusiaan sebagai elemen terpenting Agenda Sosial Belia untuk kesejahteraan bersama.