Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu diadakan khusus untuk menangani ancaman gejala sosial dalam kalangan belia termasuk yang masih bersekolah.

Antara pengisian program adalah perkongsian pengalaman kepada para peserta yang terdiri daripada belia bersekolah berumur 16 dan 17 tahun melalui pengkisahan tersendiri dalam kehidupan penceramah jemputan.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Rizan Hassan antara lain mengingatkan belia agar berhati-hati membuat pilihan kerana selepas itu mereka tidak boleh menyalahkan orang lain atas kesilapan sendiri.

"Setiap hari tanpa kita sedar kita telah membuat pilihan. Kita telah memilih apa yang kita rasa kita inginkan, sama ada baik atau buruk telah pun kita pilih. Apabila pilihan telah kita buat, sewajarnya kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kita pilih.

"Selalunya kalau pilihan itu bagus, kita akan mendabik dada bahawa kita telah berjaya dengan pilihan kita sendiri. Malangnya, kita tidak mahu bertanggungjawab sebaliknya kita menyalahkan orang lain atas kesilapan yng kita pilih," katanya.

Seorang penceramah lain turut berkongsi pengalamannya melalui kehidupan yang cukup perit atas kesilapan masa lalu apabila terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah.

"Terlalu banyak peluang kedua telah saya terima tetapi saya sia-siakannya. Hari ini di depan anda, saya hanya ada Tuhan untuk saya merintih dan mengadu, kalau-kalau ada keajaiban boleh mengubah keadaan saya. Saya hilang segalanya," katanya yang menasihati golongan belia agar tidak terjebak dalam pengaruh dadah.