Hal yang sama dirasakan oleh pelakon dan pengacara Zoey Rahman yang sering dikecam dengan pelbagai isu.

Antaranya dia didakwa kononnya melakukan pembedahan wajah lantaran ada sesetengah peminat tidak dapat mengecam wajah Zoey yang dikatakan banyak berubah.

 

Tidak cukup dengan itu, Zoey juga dikatakan mempunyai nafsu songsang atau dilabel sebagai lelaki homoseksual gara-gara memuat naik gambar model memakai seluar dalam pendek lelaki dari jenamanya, Mika Wear Boxer dalam Instagram.

“Tipulah kalau saya cakap tidak pernah kecewa atau lemah semangat apabila sering dikecam. Lebih sedih apabila kecaman ini turut melibatkan nama keluarga saya.

Pernahkah warganet fikir bagaimana perasaan mereka apabila berhadapan dengan masyarakat?

“Kata orang alah bisa tegal biasa. Kalau sudah selalu sangat orang mengecam, lama-kelamaan rasa sedih itu tiada lagi.

Hati sayapun jadi semakin kuat dengan dugaan-dugaan begini,” luah Zoey yang menyedari isu ‘buat’ muka terpalit padanya sejak awal berlakon.

Katanya, akibat terlalu kerap dikecam, lama-kelamaan dia sudah lali.

“Walaupun isu `buat’ muka sudah lama, namun orang masih bercakap.

Kadang-kadang mungkin wajah saya kelihatan berbeza kerana gaya rambut yang berubah-ubah. Tambahan pula saya memakai pendakap gigi sejak dua bulan lalu.

“Kalau ada yang cakap saya buat perubahan pada wajah, saya seboleh-bolehnya tidak mahu bercerita soal peribadi.

 

Saya tidak mahu mengiya atau menafikan, biar apa orang nak cakap, terpulanglah.

“Lagipun sekarang ada pelbagai cara untuk seseorang artis tampil lebih kacak atau menarik. Orang gelap boleh jadi cerah dan sebagainya,” jelas Zoey.

Dalam masa yang sama dia meminta maaf jika ada yang terasa apabila memuat naik gambar model lelaki yang hanya memakai seluar dalam atau boxer tidak lama dahulu.

“Saya minta maaf kepada semua yang mungkin kurang senang dengan tindakan saya itu.

Mungkin mereka rasa pelik dan tidak boleh terima gambar tersebut sehingga ramai yang tidak lagi menjadi pengikut dalam Instagram.

“Ingin saya jelaskan di sini, gambar tersebut adalah model antarabangsa, bukannya saya.

Saya harap peminat boleh faham. Saya jual boxer, jadi saya perlu menggunakan model untuk memakainya.

Tiada niat lain seperti yang didakwa sestengah pihak.

“Jual boxer sama juga seperti bisnes lain.

Kenapa perlu dikaitkan dengan orientasi seks seseorang,” katanya kesal.

Siti Nordiana bukan kekasih

Walaupun sudah beberapa kali menafikan percintaan dengan penyanyi Siti Nordiana, masih ramai peminat yang berharap hubungan akrab mereka sebagai kawan bertukar menjadi kekasih.

“Saya akui ramai yang mengaitkan saya bercinta dengan Nana (panggilan untuk Siti Nordiana) selepas saya putus cinta empat tahun lalu.

Mungkin disebabkan saya solo, ada yang salah anggap keakraban saya dan Nana.

“Buat masa ini memang kami hanya kawan, tidak lebih dari itu. Kalau ada peminat doakan kami bercinta, itu hak masing-masing.

Tak salah doakan yang baik-baik,” katanya yang pergi bercuti bersama Nana dan rakan-rakan lain di Hokkaido, Jepun pada Februari lalu.

Sempena Ramadan, Zoey turut berniaga baju Melayu jenama Teruna miliknya di karnival raya Mood Republik di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Kata Zoey, buat masa ini dia lebih selesa memfokus kepada bidang perniagaan memandangkan tawaran berlakon dan pengacaraan agak bermusim.