Walaupun belum mempunyai lagu sendiri, Zaki sudah mendapat tawaran menyanyi di banyak acara seperti karnival jualan dan majlis makan malam.

Zaki yang juga anak Jamal bersama bekas isteri keduanya, Fatimatuzahra Samat, 36, mengaku sangat berminat dengan nyanyian seperti ayahnya.

 

“Walaupun tidak membesar dengan lagu-lagu ayah, saya harus akui darah seninya mengalir dalam diri saya. Dari kecil lagi saya memang minat menyanyi dan selalu mewakili sekolah dalam pertandingan nyanyian. Ramai yang cakap wajah, gaya dan cara saya menyanyi juga seperti ayah.

“Sebelum ini ayah tidak tahu yang saya ada bakat menyanyi dan beliau hanya mengetahuinya apabila menonton video-video nyanyian saya yang dihantar oleh para peminatnya,” katanya.

Apa pun Zaki percaya ayahnya menyokong pembabitannya dalam dunia muzik lantaran secara diam-diam melantik seorang pengurus iaitu Syed Wafa bagi membantu mengembangkan kerjaya nyanyiannya.

“Ayah tidak selalu telefon saya bercakap pasal nyanyian. Biasanya kami bersembang hal-hal yang penting sahaja kerana beliau sibuk dengan tawaran nyanyian dan keluarga baharu.

“Apapun saya tahu yang beliau memang mengambil berat tentang saya. Disebabkan itu, ayah mahukan seorang pengurus menjaga kerjaya saya. Ayah tidak mahu saya bergerak sebagai penyanyi tanpa arah tuju sepertinya sewaktu awal pembabitannya dalam dunia seni.

“Ayah cakap kalau ada rezeki beliau akan mengeluarkan kos bagi menanggung penerbitan lagu saya apabila tiba masanya nanti.

“Buat masa ini ayah mahu saya menimba pengalaman terlebih dahulu dan mengenali selok-belok industri sebelum merakamkan lagu,” kata Zaki yang sudah mempunyai ramai peminat.

 

Hael Husaini sebagai inspirasi

ZAKI YAMANI lebih meminati lagu-lagu irama terkini dan kurang mendengar lagu Jamal Abdillah.
ZAKI YAMANI lebih meminati lagu-lagu irama terkini dan kurang mendengar lagu Jamal Abdillah. 

Zaki mengaku kurang didedahkan dengan lagu ayahnya kerana lebih meminati lagu-lagu penyanyi muda sekarang seperti Hael Husaini.

“Dulu Hael pernah jatuh tetapi bangkit semula sehingga menjadi antara penyanyi remaja popular Malaysia. Bermula dengan lagu Jampi dia terus dikenali. Bukan itu sahaja, lagu-lagu ciptaannya juga menjadi rebutan penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Walaupun dia masih muda, tetapi bakat dan semangat besarnya adalah inspirasi. Saya mahu berjaya sepertinya,” jelas Zaki yang juga meminati Ben Ladin.

Sementara itu menurut pengurusnya Syed Wafa, Jamal berhasrat berduet dengan anaknya suatu hari nanti.

“Jamal ada memberitahu anaknya Zaki lebih berminat dengan lagu-lagu sekarang berbanding lagunya. Ini kerana anaknya baru berusia 13 tahun dan sudah tentu meminati lagu atau artis sezamannya.

“Namun, Jamal tidak keberatan untuk berduet dengan Zaki apabila tiba waktunya.

“Bagi Jamal, tentu kolaborasi bersama anaknya satu kenangan yang tidak boleh dilupakannya sebagai seorang ayah,” kata Syed Wafa.