NUR AMIRA SYAHIRA AZIZUL
NUR AMIRA SYAHIRA AZIZUL 

Berita gembira ini dikongsi oleh Juara Ceria All Star musim pertama dengan para peminatnya yang sentiasa menyokong usahanya untuk menjadi pemain dram wanita bertaraf dunia.

“Alhamdulillah. Ini rezeki dan Mira sendiri tidak menyangka, channel YouTube Nur Amira Syahira berjaya mencecah 1 juta pelanggan atau subscriber sejak Mira memuatnaik video-video dram cover bermula pada Jun 2011.

“Dengan mendapat 1 juta YouTube subscriber, Mira menjadi pemain dram wanita kedua tertinggi selepas Meytal Cohen,” katanya kepada wartawan Utusan Online di sini, hari ini.

Menurut Nur Amira, pada awalnya, beliau muat naik video di YouTube kerana tidak mahu video-video yang telah dirakamkannya hilang.

“Asalnya memang Mira nak simpan video kat YouTube. Selepas itu, Mira nak tengok semula, di manakah kesalahan-kesalahan bermain dram yang Mira lakukan dalam semua video dram cover.

“Jadi, apabila Mira sering membuat video dram cover dan live chat dengan peminat, itu banyak membantu Mira dalam menarik perhatian pelayar YouTube dan sekaligus, mendapat pelanggan yang ramai di channel YouTube Mira sendiri,” katanya yang kini layak menjadi youtuber tersohor.

Kata Nur Amira lagi, menggunakan platform YouTube, semua video yang dimuatnaik dapat ditonton di seluruh dunia dan itu menjadi sasarannya yang terus menyimpan hasrat dan cita-cita untuk menjadi pemain dram wanita bertaraf dunia.

NUR AMIRA
 

Beliau menambah, apabila pelanggan di saluran YouTubenya meningkat, ia membantu menjana pendapatan bagi dirinya.

“Hari ini, Mira diundang sebagai ahli panel YouTube Creater sempena YouTube Creater Day 2018.

“Memang semua ini tidak diduga namun Mira bersyukur dan amat berterima kasih kepada semua peminat yang menyokong karier seni Mira,” katanya. - UTUSAN ONLINE