Menurut sumber, walaupun tiada arahan rasmi dibuat, mereka bersepakat tidak menyokong filem arahan Nam Ron itu dengan tidak membawa ahli keluarga menonton di pawagam.

“Ini termasuklah tidak ‘mempromosikannya’ melalui perkongsian status atau membuat komen di media sosial masing-masing,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

One Two Jaga yang kini ditayangkan di pawagam antara lain berkisar kepada kisah pendatang haram yang menjadi mangsa sindiket dan hubung kaitnya dengan rasuah dalam kalangan anggota serta pegawai polis.

Selain Zahiril Adzim dan Rosdeen Suboh, ia turut menampilkan dua pelakon Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail serta pelakon Filipina, Timothy Castillo.

Sementara itu, Penerbit One Two Jaga, Bront Palarae menyatakan dia amat terkejut dan berharap pemboikotan itu tidak berlaku.

Katanya, hal ini kerana PDRM sendiri amat menyokong dari awal malah Bukit Aman juga meluluskan skrip One Two Jaga selepas ditapis.

“Perlu lihat dalam konteks yang lebih besar, filem ini turut mengupas cabaran PDRM untuk perangi penyakit rasuah.

“Bagi saya, ia (rasuah) kes terpencil, bukannya satu institusi terlibat. Kita juga ketengahkan usaha dan ketegasan PDRM untuk banteras rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, Bront berkata, One Two Jaga juga perlu dilihat sebagai bentuk sokongan terhadap PDRM dalam menangi masalah rasuah.

“Terima kasih kepada yang faham, saya tahu ada anak-anak polis yang menonton dan buat ulasan di media sosial malah ramai kawan-kawan polis saya yang ucapkan tahniah,” katanya. - UTUSAN ONLINE