Namun kemenangan itu seolah-olah seperti ‘hero yang tidak didendang’. Semakin lama namanya semakin suram dan tidak seperti yang diharapkan selepas bergelar bintang popular.

Justeru ada suara belakang tabir yang mengatakan kononnya Wany dipinggirkan oleh syarikat rakamannya sendiri iaitu FMC Music sehingga dikatakan syarikat itu memberi perhatian dan mendahulukan artis sebumbung lain yang lebih digemari.

Ketika ditemu Hits, Wany mengaku dia berasa agak ‘suram’ atau kurang popular berbanding sebelum ini, namun tidak sesekali menyalahkan mana-mana pihak atau individu.

“Saya akui diri ini semakin ‘suram’. Tipulah kalau saya cakap tidak risau dengan situasi yang dilalui sekarang. Saya rasa semua artis pun risau apabila melalui fasa ini kerana sebagai artis populariti itu sangat penting.

“Namun, saya tidak putus asa atau kecewa kerana naik turun itu adalah perkara biasa. Apa yang penting saya perlu selalu berusaha untuk memastikan sentiasa relevan dalam industri.

“Saya bertuah sebenarnya mempunyai para peminat yang tidak jemu-jemu menyokong di kala berada di atas atau di bawah,” kata Wany.

Malah dia tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku ketika ini.

“Saya faham syarikat rakaman juga mempunyai ramai artis lain yang perlu diberi perhatian. Bukan saya seorang artis mereka. Malah saya hargai dan terhutang budi dengan usaha FMC menaikkan nama saya selama ini.

“Bila bercakap semakin ‘suram’ selepas menang dulu, saya anggap ini soal rezeki yang pasti ada naik turunnya. Itu adat kehidupan. Apa yang penting saya tidak berhenti berusaha dan berdoa,” kata Wany yang sedang popular dengan lagu Terlalu Memuja.

Wany juga akan muncul bersama Khai Bahar dan Sufian Suhaimi dalam siri jelajah Trio Concert Tour 2019 bermula 13 Julai ini 
di Expo @ Danga City Mall, Johor Bahru; Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Kuantan 
(17 Ogos); Stadium Sultan Abd. Halim, Alor Setar, Kedah (5 Oktober) dan Stadium Malawati, Shah Alam (2 November).