Berkata kepada Utusan Online, pemilik nama sebenar Wan Nursalam Wan Ahmad itu memberitahu, video yang dirakamkan itu sekadar suka-suka memandangkan dia gemar bereksperimen dan berseni.

“Sebelum ini saya pernah menghasilkan klip video lagu Panama Dance versi Kelantan kira-kira dua minggu lalu. Alhamdulillah, klip itu juga mendapat tontonan yang memberangsangkan meskipun dibuat tanpa dirancang.

“Kemudian, masa tengah jalani penggambaran drama Waliuddin 2 Ringgit untuk siaran TV2 bersama-sama Syafie, timbul idea untuk merakamkan video Havana tersebut.

“Alang-alang Syafie ada sekali, saya ajak dia untuk turut serta,” katanya yang bertandang ke Studio Utusan hari ini.

Dalam pada itu, Wanns juga menepis dakwaan dia sengaja menumpang populariti Syafie kerana pelakon tersebut bukannya dipaksa untuk membintangi klip video yang dihasilkannya.

Ujar hos program masakan Aroma Tradisi itu, dia mempelawa Syafie atas dasar hubungan sesama rakan artis dan pelawaan tersebut disambut baik oleh bintang filem Mukhsin berkenaan.

Justeru, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berharap para peminat dapat menerima secara positif dan terhibur dengan klip video tersebut.

“Video itu saya yang arahkan sendiri dan tulis liriknya. Tiada sebab lain, cuma untuk menzahirkan rasa cinta saya terhadap seni dan mengangkat budaya orang Kelantan,” katanya.

Menurut penyanyi Terus Mencintaimu itu, klip berkenaan boleh ditonton di laman YouTube miliknya, Wanns Ahmad atau di akaun Instagram @wannsahmad_official. - UTUSAN ONLINE