Katanya, niat murni berakhir dengan kekecewaan sekalipun segala persiapan untuk menempuh kehidupan baharu itu sudah siap.

“Memang saya sepatutnya mendirikan rumah tangga April lalu malah sudah ada persiapan yang dilakukan. Tetapi hubungan kami tidak kesampaian, walaupun sudah berkasih sayang untuk seketika,” katanya berkongsi rahsia yang disimpan hampir empat bulan kepada media ketika ditemui dalam sesi fotografi bersama barisan pelakon yang tercalon dalam Festival Filem Malaysia ke-29 di sini sebentar tadi.

Wak Doyok bagaimanapun, enggan berkongsi dengan media latar belakang wanita yang bakal dinikahinya pada April lalu.

Selepas melalui episod duka itu, Wak Doyok juga memberitahu, sehingga ke hari ini dia masih belum menemui pengganti.

“Memang saya mahu berkahwin, sebenarnya ciri-ciri seorang isteri yang saya mahu itu tidaklah setinggi mana, cukup sekadar memahami saya dan mampu menjaga ibu saya.

“Tidak kisah kalau pekerjaannya seorang guru pun. Rasanya lebih senang bekerja sebagai seorang guru, boleh jaga anak saya nanti,” katanya berseloroh.

Wak Doyok sebelum ini pernah dilaporkan menjalin hubungan kasih dengan bekas isteri Sultan Brunei, Azrinaz Mazhar Hakim yang juga bekas personaliti stesen televisyen TV3.

Bagaimanapun, hubungan akrab mereka dilaporkan berakhir di pertengahan jalan.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd. Azwan Md. Nor, 38, merupakan seorang personaliti yang terkenal berikutan fesyen jambangnya yang menjadi ikutan anak-anak muda.

Dengan jumlah pengikut sebanyak 1.8 juta di laman Instagram, Wak Doyok sentiasa menjadi tumpuan media dan masyarakat setiap kali muncul di depan khalayak. - UTUSAN ONLINE