Ramai peminat gembira, tidak kurang juga yang mempertikai keputusan tiga juri, Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Yusof Haslam melayakkan Zamani ke final memandangkan penyanyi tersebut mempamerkan persembahan kurang memuaskan ketika menyampaikan lagu Dekat Padamu yang dipopularkan Yusri KRU pada malam tersebut.

Yang pasti perbalahan tercetus di media sosial melibatkan pengikut program tersebut dan Zamani tidak terkecuali menghadapi cemuhan segelintir netizen yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Namun penyanyi berusia 47 tahun itu tenang berdepan kritikan dan menerima segala komen dengan hati terbuka.

“Itu pandangan netizen kita tidak boleh cakap apa-apa dan masing-masing ada pandangan masing-masing.

“Apa pun mereka nak komen saya terima. Itu hak mereka dan ada logiknya mereka berkata begitu.

“Kita tunggu keputusan, seboleh-bolehnya saya mahu kepastian,” katanya yang ditemui selepas konsert tersebut.

Pentas akhir GV musim ke-5 berlangsung pada 17 November depan dipancarkan secara langsung dari Wisma MBSA menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.

Juara bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM100,000 serta hadiah iringan lain.-UTUSAN ONLINE