Majlis yang berlalu menjadi satu kenangan yang amat manis kepada juaranya, yang selesa menggunakan nama pentasnya, Tuan Seminit apabila anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini berjaya mengenepikan empat finalis yang bertanding dalam Todak X Bigo Star 2019 dan membawa pulang RM10,000.

Menurut Lan atau juga dikenali dengan panggilan Daddy Todak, selaku Pengasas Todak, beliau beruntung kerana bertemu dengan Ikmal Fareeq yang menjadi Pengarah Urusan Todak Fusion.

"Kolaborasi di antara kami berdua memang ngam seperti mana kami letakkan sebelah menyebelah di antara 'gamers' atau gaming (sukan elektronik yang menjadi kegilaan generasi hari ini) dengan bidang hiburan iaitu nyanyian," katanya.

Bagi Ikmal Fareeq pula, di bawah jenama Todak, banyak cabang yang boleh dizahirkan termasuk menghasilkan barangan atau merchandise seperti kerusi Todak yang sangat-sangat selesa untuk pemain sukan elektronik atau e-sport.

"Secara tidak langsung, kita mengubah pemikiran atau mind set masyarakat di luar sana yang berpandangan sinis terhadap 'gamers' dan walaupun Todak berusia setahun jagung namun wawasan dan visi kami panjang," ujarnya.

Kata-kata Iqmal Fareeq mendapat sokongan daripada Daddy Todak sambil menambah, perkara yang positif dan balik yang dikongsi bersama komuniti di luar sana yang mungkin tidak mengetahui cara-cara yang betul untuk menjadi seorang player atau gamer yang dihormati.

"Ramai yang tidak suka apabila seseorang player itu membawa imej toksid dan thrash talk atau menggunakan bahasa yang kesat apabila bertutur. Ini tidak termasuk sikap cabar mencabar antara satu sama lain.

"Bersama Todak, kita bersaing secara sihat dan dalam masa yang sama, Todak yang menggunakan tanda pagar atau #langgar, mahu mengungguli dengan penyertaan bigores yang ramai," katanya.

Tuan Seminit
 

Aplikasi bigo pernah hampir-hampir pupus di Malaysia kerana persaingan dan persepsi negatif yang dipalit kepada bigoers.

Namun, dengan adanya program seperti Todak X Bigo Star yang diadakan secara live di Kotak Hitam tempoh hari di bawah Todak Fusion, industri hiburan tanah air diwarnai.

Pada majlis yang sama, Pengurus Regional Bigo Live yang ditemani oleh Pengurus Pemasaran dan Operasi, Crystal Pui Yan melahirkan rasa gembira dengan adanya Todak X Bigo Star.

"Kami menyasarkan menjelang tahun depan, bigo akan menjadi aplikasi pilihan utama bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi penduduk di Asia Tenggara," kata Xiong Jing.

Bercakap tentang Todak X Bigo Star, beliau berkata, pertandingan seumpama itu boleh mencerna penghibur di Malaysia walaupun bakat nyanyian mereka tidak dicungkil menerusi program realiti televisyen seperti lazimnya.

Kata Xiong Jing, pengguna aplikasi bigo boleh bertukar-tukar budaya kerana mereka yang berada dalam ruang maya bigo berinteraksi antara satu sama lain.

Cuma, sama ada kehadiran pengguna bigo itu mampu bertahan lama atau 'ditendang' keluar awal-awal lagi, terpulang kepada bigoer itu sendiri. - UTUSAN ONLINE