KONSERT DOA BUAT KEKASIH
KONSERT DOA BUAT KEKASIH 

Pada malam minggu yang lalu, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim memperlihatkan betapa istilah penghibur unggul bukan ‘dianguerahkan’ secara sembrono sebaliknya kemampuan mereka beraksi di atas pentas konsert sememangnya tidak wajar dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan ketika menyaksikan Konsert Doa Buat Kekasih, 30th Anniversary Tour mereka.

Hebat, menghiburkan dan tidak membosankan. Bahkan jika boleh, durasi persembahan mereka dilanjutkan lagi kerana banyak lagu-lagu popular Ramli dan Khaty mahu didengar oleh para peminat.

Mujurlah lagu Batu, Teratai (lagu-lagu wajib nyanyi oleh Ramli) tidak tercicir daripada senarai lebih 25 buah lagu (termasuk lagu duet dan solo Khaty) dialunkan pada malam itu.

Konsert Doa Buat Kekasih, 30th Anniversary Tour Ramli dan Khaty selama lebih dua jam setengah turut mencatat atas kanvas seni kedua-dua penghibur kesayangan ramai ini sebagai sebuah persembahan yang tiada dua.

Peminat yang hadir pada malam itu bukan sahaja terdiri daripada khalayak peminat di Malaysia tetapi juga ada yang datang dari negara jiran selain daripada artis seperti Ella dan Camelia yang hadir sama untuk menyaksikan persembahan oleh dua penghibur bertaraf superstar ini.

Memulakan persembahan pembuka tirai dengan lagu- duet, Ku Miliki Bayanganmu, diikuti dengan Lagu Zaman, Zapin Berperi dan Insan Mulia, kekuatan aura Ramli dan Khaty di atas pentas dapat dirasakan oleh hadirin. Mereka umpama pasangan artis duet yang saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Lagu Zaman yang pernah dirakamkan oleh Ramli bersama Allahyarham Tan Sri S.M. Salim, buat pertama kalinya didendangkan secara duet dengan Khaty dalam sebuah acara yang dinamakan sebagai konsert.

Ternyata persembahan duet Lagu Zaman, Ramli dan Khaty amat mantap dan tida dapat diintai ruang untuk kritikan.

KONSERT DOA BUAT KEKASIH
 

Terpegun dan amat mempersonakan apabila Khaty tampil anggun memakai baju atau dress labuh berwarna hitam disulami manik-manik dan labuci, rekaan Chef Zainal dari Singapura.

Persis supermodel dengan sosok ketinggian yang dimiliki, Khaty meneruskan persembahan secara solo selepas Ramli meninggalkan seketika pentas dengan kata-kata ringkas dan tidak perlu berjela-jela untuk mengalu-alukan kehadiran penonton.

Ini kerana empat lagu di awal persembahan yang dinyanyikan secara berduet seolah-olah menggantikan kata-kata klise seperti “Apa khabar”, “Anda terhibur” yang menjadi modal bual bicara penyanyi di atas pentas.

Lagu berjudul Ku Sangka Siang Kiranya Malam yang dirakamkan oleh Khaty ciptaan Datuk Dr. Ahmad Nawab membuatkan insan seni ini bertahan selama 40 tahun dalam industri muzik tanah air.

datuk khadijah
 

Lontaran suara Khaty dengan nota nada pada malam Konsert Doa Buat Kekasih membawa penonton seolah-olah mendengar suara dari dalam studio rakaman. Begitu bijak kawalan vokal Khaty yang hari ini, bukan berusia 19 tahun, usia ketika beliau mula-mula merakamkan album.

Hilang segala kerinduan untuk mendengar alunan penghibur superstar seperti Khaty menerusi lagu-lagu pilihan beliau seperti lagu Halimunan dan sebuah lagu lama yang pernah dirakamkan oleh Allahyarhamah Rosiah Chik berjudul Nyanyian Tanjung Sepi. Lagu ini disampaikan secara duet oleh Khaty dengan anak saudaranya, Rohani Sulaiman.

Khaty turut berduet dengan anaknya, Siti Hajar Aishah menerusi lagu berjudul Ku Pendam Sebuah Duka yang menyimpan banyak memori peribadi antara dua beranak ini.

Turut melahirkan tiga buah album dalam Bahasa Inggeris selain daripada album-album Melayunya, Khaty membawa hadirin ke alam nostalgia apabila beliau menyanyikan lagu Inggeris yang dipetik daripada albumnya, Everyday Girl ciptaan Ricky Ho.

konsert
 

Tidak puas mendengar dan menonton aksi Khaty secara solo pada Konsert Doa Buat Kekasih, Khaty memberi laluan kepada segmen solo Ramli Sarip.

Seperti biasa, persembahan Ramli membangkitkan rasa keterujaan para peminatnya. Biarpun lagu-lagu hits Ramli di era Sweet Charity diulang kali nyany, ia tetap menghiburkan.

Bijak menyuntik sesuatu yang baharu dalam penyampaiannya, Ramli berdiri sebagai Papa Rock pujaan ramai dan untuk kali ini, beliau menyanyi secara berduet lagu Inggeris genre rock and roll berjudul Rolling On The River.

Siapa sangka, Papa Rock Ramli Sarip sambil memetik gitar kapoknya, memberi satu gerak tari ketika mendendangkan Rolling On The River bersama pasangan duet paling serasi, Khaty.

konsert
 

Selebihnya, tidak perlu dizahirkan lagi menerusi kata-kata kerana Konsert Doa Buat Kekasih, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim, 30th Anniversary Tour yang baru berlalu di atas pentas Istana Budaya adalah sebuah persembahan yang memberi hadirin peluang mendengar lagu pelbagai genre.

Meminjam kata-kata Datuk Khadijah Ibrahim, “ini adalah sebuah konsert yang membawa macam-macam genre. Ada pop, rock, blues, Melayu inang dan zapin yang tidak ada dalam mana-mana persembahan konsert.” - UTUSAN ONLINE