Kemunculan Wann pada akhir 1980an dan awal 1990an dengan gayanya yang seksi dan suara 'meneran' bukan sahaja mencetuskan kelainan dalam era seni suara tanah air pada ketika itu tetapi berjaya mengangkat namanya sebagai salah seorang penyanyi wanita tanah air yang mempunyai ramai peminat.

Selain lagu Bossanova, Wann yang menghasilkan album pertamanya berjudul Lamunan Hati seolah-olah hilang selepas mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya yang berasal dari Singapura, Thazah Hamzah pada tahun 1993.

Selepas hamil anak sulung, Wann kelihatan memperlahankan kegiatan seninya dengan memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan hasil perkahwinan selama 25 tahun, pasangan ini dikurniakan dengan sepasang cahaya mata yang hari ini, sudah pun dewasa.

Walaupun masih menerima undangan nyanyian di negara jiran itu, Wann memberitahu, beliau tetap rindukan para peminatnya yang berada di Malaysia.

Umpama pepatah Melayu yang berbunyi, tempat jatuh lagikan di kenang, inikan pula tempat bermain, sudah beberapa tahun Wann menyatakan hasratnya untuk bertemu para peminat yang tetapi menyokong kehidupannya sebagai seorang anak seni.

Hari ini, hasrat yang dipendamnya itu dizahirkan apabila mendapat kata-kata semangat daripada Bohari Rahmat yang kemudiannya memanjangkan kepada pihak pengatur acara, Mareepoosa Creative & Event (MCE) untuk mengadakan sebuah majlis Makan Malam Live Bersama Wann pada 7 September 2019 di Hotel Pearl International, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

"Majlis Makan Malam Live Bersama pada 7 September nanti sebenarnya berkonsepkan bertemu dan bermesra dengan para peminat. Jadi, apabila dah berjumpa dengan peminat, Wann mesti nak nyanyi menghiburkan mereka.

"Majlis pada malam itu nanti lebih kepada up close and personel. Wann akan pergi dari meja ke meja untuk bertemu empat mata dengan peminat. Bukan sahaja peminat merindui Wann, Wann juga rindu pada semua peminat," katanya pada majlis sidang akhbar yang diadakan bagi menguar-uarkan tentang Majlis Makan Malam Live Bersama Wann, baru-baru ini.

Menurut Wann lagi, pelaksanaan majlis makan malam itu juga didorong oleh para peminat yang mengikuti beliau di laman media sosial, Instagram kerana di situlah para pengikut dan peminatnya mahukan sebuah majlis untuk bertemu dengan Wann.

Kata Wann lagi, dalam usianya yang akan menginjak ke angka 50 tahun hadapan, persemahan di Majlis Makan Malam Live itu nanti agak santai. Bagaimanapun, akan ada acara-acara menarik yang dirangka oleh Bohari dan wakil dari pihak penganjur, Kunor Ku Pengiran.

"Memang kita jual tiket untuk hadirin. Tiket harga RM120 sahaja. Setakat ini, penjualan tiket memang nampak bergerak laju dan kepada mereka yang ingin membeli tiket untuk bersama-sama dengan Wann, boleh hubungi nombor telefon 01136065747," katanya yang amat menghargai penampilan penaja-penaja awal iaitu Pretty Aini, Kazoku Doorgift, Pak John Steamboat & BBQ, Gallery Bawal dan Best Western i-City Shah Alam, Selangor. - UTUSAN ONLINE