Namun bagi telefilem Kekasih Elektrik yang ditayangkan di Astro Citra, pukul 9 malam esok (11 Mac) ada kelainan yang cuba ditampilkan pengarahnya, Razaisyam Rashid.

“Banyak subjek cinta diketengahkan dari sudut pandangan wanita namun kali ini saya ingin membawa cinta dari sudut pandangan lelaki. Maknanya cinta yang lebih maskulin,” ujarnya kepada Mega Hits baru-baru ini.

Tidak mahu penonton kaku dengan penceritaan mendatar, Razaisyam memilih teknik unsur nyata dan khayalan dua watak bagi menyampaikan maksud cinta maskulin.

Selain itu teknik 'break 4th wall' yang menyaksikan pelakon seperti berbicara terus dengan khalayak juga banyak digunakan bagi mendekatkan penonton ke alam fantasi yang menjadi penghubung kepada cinta dua watak tersebut.

Kekasih Elektrik yang menjalani penggambaran di sekitar ibu negara bulan lalu mengisahkan Amri lakonan Redza Minhat seorang lelaki yang tidak percaya kepada cinta.

Bagaimanapun cinta itu kemudiannya datang tanpa sengaja dalam kehidupan Amri selepas dia terbabit dalam insiden kemalangan renjatan elektrik.

Bagaikan penghubung, renjatan elektrik tersebut menghadirkan Puspa lakonan Siti Saleha dalam kehidupan Amri.

Istimewanya, hanya Amri yang mampu memahami Puspa, melayani masalah Puspa dan mengesan aura cinta dalam perhubungan itu.

Adakah Amri akan tunduk kepada cinta yang muncul setelah kehadiran Puspa dan bagaimana nasib Puspa yang hadir bagaikan misteri itu dalam kehidupan Amri?

Mungkinkah itu sekadar imaginasi Amri dalam memahami erti sebuah cinta? Pukul 9 malam di saluran Astro Citra esok 11 Mac, jawapan tersebut bakal dijawab.

Selain Redza dan Siti Saleha, Kekasih Elektrik turut menampilkan Amirul Affendi, Bront Palarae, Beto Khusyairi dan beberapa pelakon lain.

Menurut Razaisyam, naskhah Kekasih Elektrik sudah berada dalam fikirannya sejak tiga tahun lalu.

Mungkin belum ada rezeki, idea itu pernah ditolak beberapa kali namun akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya ditampilkan dalam bentuk telefilem.