Ada yang sanggup datang seawal 10 pagi untuk mendapat tempat terbaik di hadapan pentas utama yang terletak di pintu utama Pavilion untuk melihat Song Joong Ki, So Ji Sub dan Hwang Jung Min serta pengarah filem tersebut, Ryoo Seung-wan.

Biarpun tetamu yang dibawa khas oleh GSC Movies dan Clover Films itu hanya muncul pada pukul 7. 20 malam, orang ramai yang sejak awal berhimpun di kawasan perkarangan Pavilion dan di dalam premis tetap setia menunggu sehingga pelakon berkenaan tiba.

Ternyata mereka tidak menyangka akan menerima sambutan yang begitu hangat daripada peminat tempatan biarpun filem yang menelan kos besar itu hanya ditayangkan di pawagam tempatan mulai 17 Ogos ini.

“Saya dapat rasakan semangat dan sokongan daripada peminat di Malaysia,” kata Song Joong Ki kepada peminatnya.

Joong Ki, 32, yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan Song Hye Kyo pada 31 Oktober ini di Hotel Shilla, Pulau Jeju, Korea Selatan itu melakonkan watak Park Moo-young, tentera elit yang ditugaskan untuk membebaskan pekerja-pekerja Korea yang dijadikan tawanan dan buruh di lombong arang batu.

Meskipun sibuk mempromosi filem tersebut, Joong Ki pada satu temu bual sewaktu berkunjung ke Singapura sebelum ini memberitahu yang dia mahu berkahwin awal.

“Saya kalau boleh mahu berkahwin cepat. Sebagai selebriti setiap langkah saya menjadi perhatian dan saya hanyalah manusia biasa.

“Setakat ini, saya dan Hye Kyo dapat mengatasi setiap cabaran yang mendatang kerana kami tidak mencampur aduk antara kerja dan peribadi,” katanya yang bergandingan dengan Hye Kyo dalam drama popular The Descendants of the Sun.

Sementara itu, So Ji Sub, 40, yang sebelum ini menarik perhatian penonton tempatan menerusi drama Master’s Sun dan Oh My Venus berkata, dia sudah lama menunggu peluang untuk bekerjasama dengan pengarah tersohor Ryoo Seung Wan.

Pemegang watak Choi Chil-sung, seorang samseng dalam filem tersebut berkata, dia mengambil masa yang lama untuk berlatih bagi menjayakan adegan bergaduh di dalam bilik mandi awam untuk babak awal.

Seorang lagi pelakon utama filem tersebut Hwang Jung Min, 47, yang melakonkan watak Lee Kang-ok tidak perlu dipertikai lagi kewibawaannya sebagai pelakon.

Pemenang anugerah pada beberapa acara utama industri hiburan itu mampu melakonkan watak sebagai penghibur dan ayah kepada Lee So-hee, lakonan Kim Sun-an dengan sempurna.

Filem yang memulakan penggambaran pada 17 Jun 2016 di Cheongju dan selesai pada 20 Desember 2016 itu telah dijual kepada 113 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Rusia, Itali dan Turki.