KUALA LUMPUR 28 FEBRUARI 2018 - Majlis Pratonton Konsert Hora
Sinan Ismail
 

 

 “Buat masa sekarang, pihak kami akan buat lagu-lagu dalam bahasa Mandarin, Indonesia, Hindi, English, Sepanyol, Portugis dan Vietnam selain bahasa Melayu yang sedia ada.

“Lagu-lagu itu dibuat untuk platform digital supaya lebih ramai orang buka mata terhadap produk Digital Durian. Untuk lagu-lagu dalam bahasa luar, kami akan hasilkan lirik dalam bahasa Inggeris dan biar pihak di sana yang terjemahkan,” katanya kepada Utusan Online.

Dalam pada itu Sinan juga turut berkongsi kegembiraan kerana filem animasi Konsert Hora Horey Didi & Friends yang ditayangkan di 34 buah pawagam TVG sejak 10 Mac lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Kata Sinan, Konsert Hora Horey Didi & Friends yang dijayakan oleh Didi, Nana, Jojo dan rakan-rakannya itu merupakan konsert animasi pertama yang ditayangkan di layar perak.

“Terdapat 30 buah lagu, 17 daripadanya merupakan lagu baharu, tujuh buah lagu hit yang telah melonjakkan jenama Didi & Friends dan enam buah lagu yang telah diberi nafas baharu.

“Selain lagu-lagu baharu, Konsert Hora Horey Didi & Friends turut memperkenalkan tiga watak baharu yang merupakan sahabat kepada Didi iaitu Baby Dino, seekor dinosaur comel, kak Hani, si Koala dan abang Paan, si ayam yang sentiasa bergaya,” jelasnya.

Tambahnya, terdapat enam segmen dalam Konsert Hora Horey Didi & Friends yang dikategorikan mengikut tema kekeluargaan, kenderaan, personaliti peribadi, lagu-lagu aksi, alam semula jadi dan lagu tradisional.

Konsert Hora Horey Didi & Friends turut dijayakan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dizahirkan dalam bentuk karakter animasi 3D sebagai Mak Iti dan turut mendendangkan lagu Oh Nana.

Turut memeriahkan konsert selama 80 minit itu ialah Tomok yang mendendangkan lagu berjudul Tayar Bas. - UTUSAN ONLINE